Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Mudah dipelajari dan hanya melihat kepada prosedur menerusi Youtube atau mana-mana capaian Internet. Itu ‘trend’ terkini penggunaan dadah sintetik atau lebih terkenal dengan jolokan ‘dadah moden’ yang semakin meningkat terutamanya dalam kalangan remaja.

Proses pembuatan dadah itu yang disifatkan sebagai mudah dan hasil jualan yang tinggi mengakibatkan dadah berkenaan menunjukkan peningkatan yang agak drastik.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Halim Mohd Hussin berkata, ada individu tidak bertanggungjawab belajar proses pembuatan dadah sintetik terbabit berikutan hasil lumayan yang bakal diperoleh jika dijual kepada pelanggan.

Menurutnya, dadah jenis ini kebanyakannya menjadi pilihan generasi baru memandangkan ia dadah moden berbanding dadah jenis opiat dan trend itu meningkat saban tahun.

“Peningkatan trend penggunaan dadah ini juga berpunca daripada faktor keuntungan ‘tokan dadah’ kerana kebanyakan dadah sintetik ini dijual dalam harga yang jauh lebih tinggi berbanding dadah opiat.

“Bagaimanapun, AADK selaku agensi bertanggungjawab dalam mendepani isu dadah ini akan terus memberi penerangan kepada masyarakat awam termasuk langkah penguatkuasaan serta pemulihan yang menjadi fokus utama kami,” katanya kepada Harian Metro dalam satu temu bual eksklusif.

Beliau berkata, isu penyalahgunaan dadah itu bukan masalah domestik yang hanya dihadapi oleh negara ini saja, malah seluruh dunia bergelut mendepani masalah itu, sekali gus menyelesaikan secara menyeluruh.

Katanya, sejajar dengan objektif kerajaan mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara, pelbagai usaha dilaksanakan oleh AADK termasuk pendekatan pemerkasaan komuniti bagi menangani dadah.

“Jika kita ingin menangani dadah ini, ia bukan tanggungjawab AADK saja, bukan juga tanggungjawab kerajaan semata-mata. Kita perlu membabitkan komuniti kerana mereka lebih tahun demografi kejiranan mereka.

“Masyarakat di kawasan kejiranan lebih mengetahui di mana ‘port’ dadah, lokasi melepak anak muda dan kawasan yang cenderung untuk berlaku menyalahgunaan dadah. Jika kita membabitkan masyarakat, nisbah keberjayaan akan meningkat. Formula ini yang kita ambil,” katanya.

Selain itu, Halim berkata, AADK meningkatkan keberadaan penguat kuasa daripada agensi itu termasuk mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan beberapa agensi lain.

Ketika ditanya berhubung kemungkinan pegawai penguat kuasa AADK dibekalkan dengan senjata api pada masa depan, beliau berkata, biarpun AADK sebagai agensi utama dalam menangani isu dadah, namun pembahagian tugas serta tanggungjawab sudah dilaksanakan.

“Buat masa ini, kita tidak melihat keperluan berkenaan kerana sentiasa bekerjasama dengan polis jika membabitkan operasi berisiko. Ini peranan setiap agensi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 9:28 AM