AZIH Muda (tengah) merakam kenangan bersama ahli Persatuan Guru Bumiputera Sarawak. -Foto HARUN YAHYA
AZIH Muda (tengah) merakam kenangan bersama ahli Persatuan Guru Bumiputera Sarawak. -Foto HARUN YAHYA
Harun Yahya


KESATUAN Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mengkaji penyebab tekanan kerja yang membelenggu penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, lebih 30 peratus dalam kalangan penjawat awam mengalami tekanan kerja dan perkara itu perlu dipandang serius.

“Kebimbangan kita apabila risiko tekanan ini berlaku kepada penjawat awam, ia boleh menyebabkan kemurungan dan akhirnya mereka tidak dapat memberikan produktiviti yang baik.

“Ia akan memberi kesan kepada tuntutan dan permintaan rakyat. CUEPACS mencadangkan kepada Bahagian Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan entiti berkaitan untuk mengkaji tahap tekanan semua peringkat penjawat awam sehingga ada yang bersara awal kerana tidak mampu lagi mendepani tekanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bual Bicara bersama Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak di Sibu, semalam.

Katanya, punca tekanan perlu dikenal pasti agar kajian komprehensif dapat dijalankan bagi membantu pekerja itu untuk keluar dari beban tekanan mereka.

“Tekanan dihadapi ini antaranya disebabkan beban kerja kerana kakitangan yang bersara, berhenti, dipindah, tidak diganti dan tiada pengambilan baru dibuat.

“Beban kerja mereka masih perlu dilaksanakan contohnya sesuatu perkara harus siap dalam tempoh sejam, mereka masih perlu menyiapkannya dalam tempoh itu. Dulu kerja dilakukan lima petugas, sekarang hanya dibuat dua kakitangan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Sarawak yang memberi maklum balas positif dengan beberapa cadangan pihaknya.

Antaranya ialah cadangan memberi cuti tanpa rekod tujuh hari kepada penjawat awam negeri untuk melaksanakan aktiviti keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 11:52 AM