FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Tekanan kerja yang melampau antara faktor mendorong penjawat awam terbabit dalam pengambilan dadah.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd Nordin yang menyifatkan ia sebagai amat membimbangkan.

"Polis mendedahkan, lebih 800 penjawat awam ditahan kerana kesalahan dadah sepanjang tahun ini dan angka itu menunjukkan betapa serius masalah berkenaan.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh CUEPACS, kebanyakan penjawat awam yang terbabit dalam gejala dadah disebabkan masalah tekanan kerja dan ini perlu ditangani segera," katanya kepada BH hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain, yang mendedahkan, 346 pegawai dan anggota polis antara 804 penjawat awam ditahan kerana kesalahan berkaitan dadah, sepanjang tahun ini.

Secara keseluruhan, 340 kakitangan awam, 104 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 14 kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut dikesan atas kesalahan sama.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, kerajaan terutama ketua jabatan perlu memainkan peranan bagi menangani masalah berkenaan bagi mengelak ia bertambah buruk.

Jelasnya, masalah terbabit bukan sahaja amat membimbangkan malah jika tidak ditangani segera, ia boleh memberi kesan buruk kepada imej penjawat awam.

"Bagi saya, ketua jabatan perlu memainkan peranan serta semua pihak termasuk media untuk menangani masalah ini.

"Bagaimanapun, pengambilan dadah ini tetap satu kesalahan besar dan tindakan perlu dikenakan terhadap mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 6:11 PM