Azlan (tengah) bergambar bersama Azih (duduk dua dari kiri) bersama exco Anulae di Persidangan Perwakilan Tritahunan Kali ke-26 ANULAE Semenanjung Malaysia di Dewan 2020 pagi tadi. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Azlan (tengah) bergambar bersama Azih (duduk dua dari kiri) bersama exco Anulae di Persidangan Perwakilan Tritahunan Kali ke-26 ANULAE Semenanjung Malaysia di Dewan 2020 pagi tadi. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KERAJAAN negeri Perlis sedia mempertimbangkan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhubung penyediaan skim perlindungan pekerja bagi kakitangan badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan.

CUEPACS mencadangkan skim perlindungan pekerja itu diwujudkan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji dengan lebih teliti cadangan itu sebelum diaplikasikan di peringkat kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri tidak pernah menolak sebarang cadangan dan penambahbaikan yang dikemukakan CUEPACS dalam membela nasib penjawat awam di Malaysia khususnya negeri Perlis.

"Namun, ia perlu dikaji lebih terperinci oleh kerajaan negeri khususnya dari segi kemampuan kewangan kerana setiap keputusan pasti ada implikasinya," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Kali ke-26 ANULAE Semenanjung Malaysia di Dewan 2020 di sini hari ini.

Menurut Azlan, pihaknya menyambut baik cadangan yang dikemukakan CUEPACS jika permintaan itu bertepatan dengan ruang lingkup kemampuan kerajaan negeri.

"Sekiranya tuntutan ini satu tuntutan yang mampu memberikan kesan dan implikasi yang positif terhadap penjawat awam negeri mengapa kerajaan negeri perlu katakan tidak?

"Namun seperti yang saya maklumkan tadi setiap permintaan dan cadangan yang diusulkan perlu diteliti dengan sebaiknya kerana setiap kata putus di peringkat kerajaan negeri pasti membawa implikasi kelak," katanya.

Turut hadir sama dalam persidangan itu, Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda; Timbalan Setiausaha Agungnya, Adnan Mat dan Pengerusi CUEPACS Perlis, Abdul Rahman Bahari.

CUEPACS sebelum ini meminta kerajaan agar menimbangkan dua perkara iaitu setiap kakitangan awam diberi insentif satu kenaikan gaji tahunan yang didahulukan tanpa memansuhkan kenaikan gaji tahunan yang diperoleh pada tahun berkenaan.

Selain itu, CUEPACS juga meminta kerajaan menimbangkan perlindungan di bawah PERKESO kepada setiap penjawat awam di peringkat negeri terdiri daripada kakitangan badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Ini berikutan buat masa ini kakitangan awam yang berkhidmat dalam sektor peringkat negeri tidak mempunyai perlindungan berbanding kakitangan peringkat persekutuan yang dilindungi skim ex-gratia dalam menghadapi bencana ketika bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 11:24 PM