ALI (tengah) menyampaikan Anugerah Khas CUEPACS kepada Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah  (kanan) sambil diperhatikan Azih (kiri) pada Sambutan Hari Pekerja CEUPACS 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
ALI (tengah) menyampaikan Anugerah Khas CUEPACS kepada Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah (kanan) sambil diperhatikan Azih (kiri) pada Sambutan Hari Pekerja CEUPACS 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
Nadia Hamid dan Veena Babulal


KERAJAAN akan mempertimbangkan cadangan menambah projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) berharga RM90,000 hingga RM120,000 selewat-lewatnya tahun depan.

Cadangan itu bagi membolehkan penjawat awam daripada kelompok khususnya B40 memiliki rumah pertama.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata usaha itu adalah penambah baikan kepada isu perumahan berasaskan pendapatan penjawat awam seperti disuarakan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

“"Penambah baikan (bina rumah harga bawah RM90,000) kita akan buat. Di sesetengah tempat (luar bandar), kita sudah buat cuma cabarannya (bina rumah) di Lembah Klang kerana perlu teliti isu tanah dan pemberian subsidi.

“Ada projek (kerajaan) boleh beri sehingga 30 peratus peruntukkan (bina rumah), tetapi kena tengok kos keseluruhan pembinaan,” katanya.

Beliau bercakap selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan dan Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

Ali berkata, setakat ini, kerajaan sudah menerima 200,000 permohonan rumah di bawah PPA1M dan sebanyak 147,000 permohonan sedang diposes manakala lebih 10,000 permohonan diluluskan.

“Kita ada unit khas untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), (jadi) kita akan lihat rumah untuk semua. Kerajaan boleh usahakan dan beri kelulusan sebelum 2019,” katanya.

Sementara itu, Azih berkata, tidak mustahil untuk kerajaan meningkatkan gaji minimum penjawat awam kepada RM2,500 berdasarkan peningkatan pencapaian ekonomi negara.

“Dengan mengambil perbandingan gaji minimum di China adalah 2,500 yuan (bersamaan RM1,200) pada 2012, kini saiz ekonomi China mencapai A$15 trilion.

“Ekonomi Malaysia turut berkembang dalam tempoh itu daripada RM690 bilion kepada RM1.23 trilion pada 2017. (Jadi) CUEPACS yakin dengan perkembangan saiz ekonomi Malaysia, kita akan dapat gaji minimum seperti diminta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 12:23 PM