Zuliaty Zulkiffli

TANDA tanya kewujudan rumah kosong di lokasi terpencil di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, terjawab apabila ia dijadikan transit penyimpanan bunga api dan mercun yang diseludup dari negara jiran.

Ini berikutan hasil pemeriksaan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api dalam kotak yang sebahagiannya ditemui dalam rumah dan sebuah kereta jenis Kia Forte dalam serbuan jam 3.30 petang semalam.

Komander AKSEM Kedah, Abd Latif Abdul Rahman berkata, sepasukan anggotanya membuat serbuan di rumah berkenaan dan menemui mercun serta bunga api di ruang tamu rumah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki sesuatu mencurigakan apabila ada kereta di rumah berkenaan, sedangkan kediaman itu tiada berpenghuni.

“Selepas menunggu hampir 30 minit, tiada sesiapa yang menuntut kereta berkenaan menyebabkan anggota kami bertindak memecahkan cermin tingkap di bahagian pemandu untuk membuka pintu kereta.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis mercun yang diletak di bahagian penumpang kenderaan itu yang kemudian ditunda untuk dibawa ke pejabat kami di sini,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM, hari ini.

 ABD Latif memeriksa bunga api dan mercun yang ditemui dalam kereta. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ABD Latif memeriksa bunga api dan mercun yang ditemui dalam kereta. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Abd Latif berkata, pihaknya percaya yang mercun itu diseludup dari Thailand berikutan permintaan tinggi pada Tahun Baru Cina ini, dan harganya mampu dijual mencecah dua kali ganda atau lebih di negara ini.

“Nilai rampasan mercun dan bunga api ini berjumlah RM60,000 termasuk cukai manakala kenderaan itu bernilai RM35,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan lebih RM90,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan tiada tangkapan dilakukan dalam kes ini,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan itu kemungkinan dilakukan oleh individu yang membeli secara kecil-kecilan dan menyimpan sementara di rumah itu yang kemudiannya mungkin akan diambil oleh individu lain.

Katanya, antara mercun yang paling mendapat sambutan dan paling banyak dirampas adalah jenis mercun papan, bola dan cake.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 2:35 PM