Zuliaty Zulkiffli


TERTARIK dengan upah lumayan sebanyak RM2,000 membuatkan dua lelaki sanggup menanggung risiko menyeludup pelbagai jenis mercun dari negara jiran.

Bagaimanapun tindakan mereka berusia 40-an itu mengundang padah apabila ditahan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang bertugas di sekatan jalan raya di Bukit Kayu Hitam, 9 malam tadi.

Silauan cahaya lampu dua kereta yang kelihatan di kawasan tapak lama Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) menimbulkan curiga dalam kalangan anggota AKSEM menyebabkan mereka menahan kereta itu untuk pemeriksaan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi AKSEM, Senior Asisten Komisioner Datuk Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, hasil pemeriksaan kenderaan terbabit menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Beliau berkata, pihaknya percaya dua lelaki itu hanya diupah untuk membawa masuk bahan letupan itu dan kegiatan itu membabitkan banyak rangkaian sindiket.

"Upah lumayan sebanyak RM2,000 untuk setiap satu kereta menyebabkan mereka berani melakukan kegiatan itu walaupun tahu risiko yang bakal dihadapi apabila ditahan anggota kami.

"Mereka juga sanggup menggunakan laluan belakang dari ICQS kerana bimbang kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa disebabkan kawalan ketat di sempadan oleh pelbagai agensi.

"Malah kita percaya modus operandi yang dilakukan suspek adalah dengan menggunakan peluang sewaktu solat Terawih atau selepas waktu berbuka puasa dan menggunakan laluan belakang sebagai cara untuk melepaskan diri, namun gagal.

"Mercun dan bunga api itu dipercayai diseludup masuk untuk pasaran di beberapa negeri lain berikutan permintaan tinggi pada musim perayaan ini," katanya ketika ditemui di Kompleks Pentadbiran AKSEM Bukit Kayu Hitam, di sini, malam tadi.

TIMBALAN Ketua Pengarah Operasi AKSEM, Senior Asisten Komisioner Datuk Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias (tiga dari kanan) menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas dalam dua buah kereta di tapak lama kompleks ICQ Bukit Kayu Hitam, malam tadi. FOTO Zulaity Zulkiffli
TIMBALAN Ketua Pengarah Operasi AKSEM, Senior Asisten Komisioner Datuk Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias (tiga dari kanan) menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas dalam dua buah kereta di tapak lama kompleks ICQ Bukit Kayu Hitam, malam tadi. FOTO Zulaity Zulkiffli

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah AKSEM (Strategik), Mohd Ridzzuan Mohd Zain dan Komander AKSEM Kedah, Abd Latiff Abdul Rahman.

Terdahulu, beliau bersama pegawai dan anggotanya berbuka puasa di sempadan Bukit Kayu Hitam selepas mengadakan mesyuarat, di sini, semalam.

Megat Mohamad Aminuddin berkata, ini adalah kes rampasan keempat membabitkan mercun dan bunga api yang cuba diseludup masuk sepanjang bulan Ramadan ini.

Katanya, antara mercun yang paling banyak dirampas malam tadi adalah 10 guni besar mercun bola yang paling bahaya sekiranya meletup dan terkena mangsa selain mercun ayam yang kini sedang tular di laman sosial.

"Sindiket sentiasa mencari peluang untuk melakukan kegiatan penyeludupan mercun, namun rondaan kerap dan kawalan ketat di sempadan negara menyebabkan ramai yang berputih mata apabila ditahan anggota kami.

"Jumlah rampasan mercun dan bunga api ini dianggarkan bernilai RM100,000, manakala dua kereta terbabit turut dirampas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membawa barangan tak berkastam," katanya.

Dalam pada itu, Megat Mohamad Aminuddin berkata, pihaknya terus memperketatkan semua laluan masuk ke negara ini terutamanya di Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis dalam memastikan tidak berlaku pembolosan barangan yang diseludup serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau berkata, paling banyak kes barangan yang cuba diseludup adalah di Kelantan, Perlis dan Kedah, namun pihaknya mempunyai strategi tersendiri untuk mengurangkan kegiatan itu dengan mengenal pasti dari mana punca dalang yang membawa masuk barangan berkenaan.

"Kemalangan membabitkan letupan mercun dan bunga api pula berkurangan cuma satu kes dilaporkan di Kelantan yang menyebabkan tangan mangsa hancur akibat terkena mercun.

"Ini membuktikan kawalan ketat anggota kita di sempadan berjaya mengurangkan kes berkenaan berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 9:44 AM