Mohd Asri (baju hitam) menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas dalam serbuan di Kampung Ayer Lanas, Jeli, semalam. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohd Asri (baju hitam) menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas dalam serbuan di Kampung Ayer Lanas, Jeli, semalam. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof


Tanah Merah: Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Kelantan merampas 270 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM280,000 di kawasan ladang getah di Kampung Ayer Lanas, Jeli, petang semalam.

Serbuan kira-kira 6 petang itu dibuat selepas menerima maklumat awam mengenai aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api menggunakan sebuah loritiga tan menghala ke arah Jeli.

Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata, sebaik menyedari kehadiran AKSEM, pemandu lori itu memecut laju dan memasuki jalan mati sebelum meninggalkan kenderaan di kawasan itu dan melarikan diri bersama kelindannya.

"Pada masa sama , kami turut menemui sebuah lagi lori yang ditinggalkan tanpa pemandu di lokasi sama.

"Hasil pemeriksaan pada dua lori berkenaan mendapati 270 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api ditemui dipercayai diseludup dari Thailand menerusi pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang," katanya di pejabat AKSEM Bukit Bunga, di sini, hari ini.

Menurutnya, semua mercun dan bunga api itu juga dipercayai untuk pasaran di luar Kelantan menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 atau lebih daripada 20 kali ganda nilai baranganatau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 5:26 PM