Mercun yang diseludup dari Thailand dirampas di pemis perniagaan di Jalan Arau-Kodiang, Guar Sanji. FOTO ihsan AKSEM
Mercun yang diseludup dari Thailand dirampas di pemis perniagaan di Jalan Arau-Kodiang, Guar Sanji. FOTO ihsan AKSEM
Aizat Sharif


Arau: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Daerah Chuping berjaya merampas 185 kotak bunga api dan mercun bernilai RM7,687 selepas menyerbu sebuah premis perniagaan di Jalan Arau-Kodiang, Guar Sanji, di sini, semalam.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superitendan Azizan Saman berkata, dalam operasi jam 5.50 petang membabitkan dua pegawai dan sembilan anggota itu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dipercayai pemilik kedai berkenaan.

"Serbuan dijalankan selepas kami menjalankan risikan di mana kedai ini dijadikan transit penyimpanan mercun dan bunga api yang dipercayai untuk dijual di negara ini sempena musim perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

"Semasa pemeriksaan dijalankan di premis itu, suspek yang ditahan itu kemudian menunjukkan tujuh kotak besar berisi mercun dan bunga api yang disimpan dalam bilik tidur di premis itu kepada anggota AKSEM," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Katanya, pemeriksaan selanjutnya pula menemui 185 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dimuatkan dalam tujuh kotak berkenaan.

"Antara mercun yang dirampas termasuklah mercun papan, mercun roket 'Thunderclap', mercun mancis dan bermacam lagi dan kita percaya mercun dan bunga api ini dipercayai diperoleh dari Thailand.

"Barangan itu kemudian diseludup masuk ke negara ini menggunakan 'laluan tikus' dan adalah untuk jualan di Perlis menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti namun kita masih menyiasat rangkaian serta sudah berapa lama suspek melakukan kegiatan ini.

"Rampasan dianggarkan bernilai RM7,687 manakala nilai cukai mercun dan bunga api itu pula ada sebanyak RM4,612.20," katanya.

Suspek yang berasal dari Jalan Santan, Kangar itu kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 10:17 AM