Muhamaad Razis Ismail


AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan merampas pelbagai mercun dan bunga api bernilai RM180,000 yang ditemui di dalam lori di ladang kelapa sawit Jeram Pasu, Pasir Puteh, malam tadi.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, lori seberat lima tan itu ditinggalkan tanpa pemandu.

Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata, ketika sedang membuat intipan dan rondaan di sekitar Pasir Puteh, pihaknya memperoleh maklumat berhubung lori itu.

Pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian dan menemui lori yang ditinggalkan.

"Pemeriksaan lanjut menemui 180 kotak mengandungi mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM180,000.

"Lori dan barang itu disita dan dibawa ke pejabat AKSEM untuk pemeriksaan lanjut sebelum akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Kita anggarkan keseluruhan barang rampasan termasuk lori berjumlah RM240,000," katanya dalam sidang media di pejabat AKSEM Kelantan hari ini.

Mohd Asri (kiri) bersama anggotanya menunjukkan sebahagian 180 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api pada sidang media di pejabat AKSEM negeri, Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
Mohd Asri (kiri) bersama anggotanya menunjukkan sebahagian 180 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api pada sidang media di pejabat AKSEM negeri, Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa

Menurutnya, barang terlarang itu diseludup masuk ke negara ini melalui pangkalan haram Bukit Lata, Rantau Panjang untuk pasaran di sekitar Lembah Klang sempena Krismas dan Tahun Baru Cina.

"Kita percaya sindiket mengambil kesempatan menyeludup mercun dan bunga api sedikit demi sedikit ketika banjir baru-baru ini dan disimpan di dalam stor.

"Selepas itu ia dibawa keluar dengan lori untuk pasaran di luar Kelantan," katanya.

Menurutnya, menjelang musim perayaan ini, AKSEM Kelantan mempertingkatkan aktiviti pencegahan penyeludupan dan penguatkuasaan di sempadan.

"Kita juga akan melancarkan operasi bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain dalam masa terdekat untuk mencegah aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 11:40 AM