ANTARA gambar Pasukan Polis Singapura yang disiarkan dalam laporan portal republik itu memaparkan aset Jabatan Laut dinaiki Menteri Besar, Datuk Osman Sapian ketika mengadakan lawatan, kelmarin yang didakwa memasuki perairan negara itu. FOTO Singapore Police Force
ANTARA gambar Pasukan Polis Singapura yang disiarkan dalam laporan portal republik itu memaparkan aset Jabatan Laut dinaiki Menteri Besar, Datuk Osman Sapian ketika mengadakan lawatan, kelmarin yang didakwa memasuki perairan negara itu. FOTO Singapore Police Force
Mohd Fahmi Mohd Yusof


TIDAK sampai dua hari selepas rundingan dua hala berkaitan isu ruang udara dan had pelabuhan maritim diadakan Selasa lalu, Singapura hari ini mendakwa lima kapal Malaysia memasuki perairan republik itu.

Dalam laporan portal berita republik itu, lima kapal yang didakwa memasuki perairan Tuas, Singapura itu adalah dinaiki rombongan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian ketika membuat lawatan ke aset Jabatan Laut, MV Pedoman, kelmarin.

Laporan itu turut menyiarkan beberapa gambar ihsan daripada Pasukan Polis Singapura yang memaparkan kapal dinaiki Osman jelas diambil dari jarak jauh.

“Lima kapal Malaysia berada dalam perairan Singapura di Tuas pada 6 petang, Rabu, sehari selepas kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi menangani pertikaian maritim.

“Dua kapal kekal berada dalam perairan Singapura pada 6 petang Khamis (semalam), kata Pihak Berkuasa Pelabuhan Maritim (MPA) ketika menjawab pertanyaan media,” menurut laporan berkenaan.

NSTP cuba mendapatkan reaksi Jabatan Laut berhubung dakwaan itu.

Terdahulu, Osman memuat naik kenyataan dalam laman rasmi Facebooknya melawat anggota dan pegawai Jabatan Laut yang bertugas di atas kapal MV Pedoman, kapal induk jabatan itu di kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura.

“Kapten Mohamad Azlan Aziz turut memberikan penjelasan mengenai had kawasan sempadan yang menjadi pertikaian dua negara.

“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas jasa dan pengorbanan anggota keselamatan dan kakitangan awam yang komited mengawal dan mempertahankan perairan kita,” katanya dalam kenyataan itu.

Selasa lalu, Menteri Luar Malaysia dan Singapura mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu pertikaian ruang udara dan had pelabuhan maritim.

Hasil pertemuan itu, Malaysia bersetuju menggantung Kawasan Larangan Kekal (RA) ruang udara di Pasir Gudang, pada masa sama Singapura setuju menggantung pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, berkuatkuasa serentak selama sebulan.

Berita berkaitan

Pelaksanaan larangan ruang udara, ILS digantung [METROTV]

Sebulan tempoh kritikal buat Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 11:11 AM