OSMAN. FOTO Arkib NSTP
OSMAN. FOTO Arkib NSTP
Mohd Fahmi Mohd Yusof


ISU pencerobohan perairan dilihat hanya satu alasan Singapura untuk menangguhkan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM), pada Isnin ini.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian menegaskan lawatan diadakan beliau ke aset Jabatan Laut Malaysia bukan satu isu, sebaliknya Singapura hanya memberikan alasan berkenaan untuk menangguhkan Mesyuarat JMCIM.

Katanya, mungkin kerajaan republik itu mahu memikirkan idea baharu atau isu lain bukan sahaja berkaitan had sempadan perairan, tetapi juga ruang udara Pasir Gudang dan Lapangan Terbang Seletar di Singapura.

“Saya mengadakan lawatan itu bukan satu isu, tidak masuk pun kawasan dia sehinggakan Singapura hendak batalkan mesyuarat pada 14 Januari ini, ia hanya alasan.

“Mereka hendak fikiran apa idea baru bukan saja perairan tetapi ruang udara Pasir Gudang dan Seletar (lapangan terbang)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan program menyalakan cahaya tanglung sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Impian Emas di Johor Bahru, hari ini.

Mengulas mengenai pihaknya menerima kenyataan atau makluman rasmi daripada kerajaan Singapura berhubung penangguhan mesyuarat itu, Osman berkata sehingga kini masih tiada sebarang pemberitahuan.

“Tidak (tiada pemberitahuan). Sehingga kini Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan pejabatnya tidak beritahu secara peribadi, Kementerian Luar pun tidak beritahu.

“Saya hanya dimaklumkan Ketua Setiausaha Sulit saya sahaja pagi tadi menerusi WhatsApp memaklumkan kenyataan Kementerian Luar Singapura yang mahu menangguhkan mesyuarat itu," tambahnya.

Hari ini, Kementerian Luar Singapura memaklumkan republik itu bercadang menangguhkan JMCIM yang dijadualkan berlangsung pada Isnin ini.

Cadangan itu dibuat dalam satu kenyataan oleh Pejabat Kementerian Luar Singapura hari ini susulan isu pencerobohan kapal Malaysia ke perairan republik itu di Tuas, Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 11:40 PM