Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Ketika remaja seusia menyambung sesi persekolahan baharu, tiga beradik yang menumpang teduh di rumah ibu saudara di Taman Seremban Jaya terpaksa berhenti sekolah akibat kemiskinan keluarga.

Bagi membantu ibunya, M Letutumi, 44, yang menghidap penyakit asma dan sesak nafas, B Rangeetama, 15, selaku anak sulung terpaksa bekerja di sebuah restoran di taman itu bagi membesarkan dua adiknya, Mugilan, 14, dan Leena, 11.

Rangeetama berkata, dia tiada pilihan kerana bapanya meninggal dunia 11 tahun lalu, akibat serangan jantung manakala ibunya bekerja sambilan mencuci pinggan di restoran berdekatan.

“Terdetik di hati untuk bersekolah namun apakan daya, keluarga tidak berkemampuan.

“Saya sudah tiada bapa dan ibu pula selalu sakit,” katanya yang ditemui ketika kunjungan aktivis kebajikan, K Kannis di rumah ibu saudaranya, semalam.

Menurut Rangeetama, sebelum ini keluarganya menumpang di rumah datuknya di Ipoh, Perak dan berpindah ke daerah ini awal tahun lalu.

“Selepas berpindah, saya dan dua adik terpaksa berhenti (sekolah) berikutan ibu tiada wang.

“Kami pernah bersekolah rendah dan menengah di Ipoh tetapi datuk juga dihimpit banyak masalah,” katanya.

Dia sedih memikirkan masa depan dua adiknya, tambahan pula Mugilan meraih 1A dan 4B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

LETUTUMI bersama tiga anaknya ketika ditemui di rumah abangnya di Seremban Jaya. FOTO Hazreen Mohamad
LETUTUMI bersama tiga anaknya ketika ditemui di rumah abangnya di Seremban Jaya. FOTO Hazreen Mohamad

Sementara itu, Letutumi berkata, dia menumpang di rumah adik iparnya, G Letchumy, 39, dan suami, K Vijayan, 38, berikutan tiada tempat untuk dituju.

“Saya berterima kasih kepada Vijayan yang sudi menerima kehadiran kami biarpun dia bekerja sebagai kelindan lori.

“Besar harapan supaya tiga anak dapat bersekolah kerana mereka masih memiliki masa depan,” katanya.

Selain empat beranak itu, kediaman terbabit didiami enam anak kandung Letchumy dan Vijayan berusia tujuh hingga 18 tahun, dengan lima masih bersekolah dan seorang bekerja sebagai buruh.

Pada masa sama, pasangan itu membesarkan empat anak yatim dibuang keluarga sejak kecil yang kini berusia 17 hingga 19 tahun. Keseluruhannya, kediaman kecil itu didiami 16 individu.

Orang ramai yang mahu membantu Letutumi boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank miliknya bernombor 155015235372 atau menghubunginya di talian 011-31803292.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon yang dihubungi berkata, pihaknya akan membantu keluarga berkenaan.

Katanya, sepasukan kakitangan dan pegawai akan diminta ke rumah keluarga itu bagi mengambil tahu masalah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 10:47 AM