Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: "Saya akan memegang amanah ibu dan ayah untuk menjaga adik sebaik mungkin dan kami tidak akan berpisah, walau apapun terjadi," kata Noor Effa Aznira Mohd Ali.

Noor Effa Aznira, 24, yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, dia kini terpaksa mengambil alih tugas sebagai 'ibu dan bapa' bagi tiga adiknya.

Menurutnya, ia termasuk menguruskan pakaian dan makanan adik beradiknya selepas bapa, Mohd Ali Mat Adam meninggal dunia sejak dua tahun lalu disebabkan penyakit angin ahmar manakala ibu, Roselina Abdullah meninggal dunia pada November tahun lalu kerana jangkitan kuman pada paru-paru.

Katanya, arwah ibunya yang sebelum ini bekerja di kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Keling tidak menghidap sebarang penyakit.

"Bagaimanapun, beberapa hari sebelum meninggal dunia, ibu mengalami demam selain mengadu sakit di bahagian belakang dan kami membawanya ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

"Doktor memberitahu arwah ibu tidak ada sakit apa-apa dan beberapa hari selepas itu, kesihatannya semakin merosot dan meninggal dunia di sisi saya dan adik serta ahli keluarga lain.

"Walaupun masih bersedih atas kehilangan ibu, saya tetap perlu menguatkan semangat demi adik yang memerlukan perhatian dan kini hanya menumpang kasih nenek, Patimah Jusoh, 73.

"Sebagai anak sulung dalam keluarga, saya akan memastikan dua adik masih bersekolah iaitu Noor Amalien Asyikien, 8, yang belajar di SK Kampung Keling dan Muhammad Faris Haikal, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar 2 tidak tercicir dalam pelajaran," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tembesu Limbat.

NOOR Effa Aznira (kanan) bersama adik bongsunya,Noor Amalien Asyikien yang kini menggalas  tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas kematian kedua ibu bapanya.FOTO Hazira Ahmad Zaidi
NOOR Effa Aznira (kanan) bersama adik bongsunya,Noor Amalien Asyikien yang kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas kematian kedua ibu bapanya.FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan daripada Yayasan Amal Dato Zul Wisma yang diketuai Pengerusinya, Datuk Dr Zulkepli Mohamad.

Dalam kunjungan itu, yayasan turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan barang keperluan asas yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

Nureffa Aznira berkata, bagi menyara adiknya, dia kini bergantung kepada komisen diperoleh antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan sebagai jurujual produk kesihatan selain adiknya, Muhammad Faisal Asyraf, 22, yang bekerja stor di sebuah kilang.

Sementara itu, Zulkepli berkata, pihaknya akan terus memantau keperluan empat beradik itu dan akan didaftarkan di bawah yayasan bagi membolehkan mereka mendapat kemudahan disediakan, sekali gus meringankan beban ditanggung.

Orang ramai yang ingin menghulur sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam, 03139020045217 atas nama Noor Effa Aznira Mohd Ali atau boleh menghubunginya di talian 014-8070941.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:06 PM