Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

“INI bukan manusia punya kerja. Sampai hati, dia buat adik saya macam ini," kata K Deva, 42, abang kepada Gunawathy, 39, yang mati dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Seremban Jaya, Seremban, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa ditemui terbaring di tangga ruang tamu dengan kesan kelar di leher hingga telinga, dipercayai menggunakan pisau pemotong daging.

Deva berkata, kejadian itu disedari anak ketiga mangsa berusia sembilan tahun sebaik pulang dari sekolah.

"Anak saudara menemui ibunya berlumuran darah. Dia memberitahu jiran yang kemudian menghubungi isteri saya.

“Kami sekeluarga bersama ibu bergegas ke rumahnya dan sebaik tiba, adik sudah meninggal dunia," katanya yang tinggal di Taman Jujur, Sikamat.

Menurut Deva, ketika kejadian, tiga anak lelaki mangsa berusia 14, 13 dan sembilan tahun berada di sekolah, manakala suami berusia 40-an bekerja di sebuah kilang di Senawang.

"Berdasarkan CCTV (kamera litar tertutup) di rumah jiran, seorang lelaki meninggalkan motosikal Honda Wave di luar pagar rumah dan masuk ke dalam rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak. FOTO Adzlan Sidek
AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak. FOTO Adzlan Sidek

Menurutnya, suspek dipercayai mengelar leher adik bongsunya itu menggunakan pisau pemotong daging.

“Sebuah telefon bimbit dan sebuah beg mengandungi RM500 milik adik saya hilang. Penjenayah ini bukan manusia kerana sanggup melakukan perbuatan kejam seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 8:48 PM