Farah Marshita Abdul Patah


GURU kaunseling sekolah menengah dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, selepas didapati bersalah memberi sokongan dan memiliki imej berkaitan kumpulan pengganas Daish, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tujuh dan dua tahun terhadap Razis Awang, 32, atas kesalahan memberi sokongan dan memiliki imej berkaitan kumpulan pengganas.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 30 Mac lalu.

Azman dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Katanya, pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh adalah mengikut tatacara yang diperkenalkan untuk membanteras anasir keganasan yang menular daripada pengaruh di dalam dan luar negara.

“Tindakan itu jika tidak disekat akan membawa kepada unsur keganasan dan pengaruh peperangan serta menjalankan serangan merbahaya bukan saja kepada satu pihak tetapi kepada rakyat.

“Banyak lagi hal dan tanggungjawab lain. Malah, sebagai guru, suami dan anak, boleh berjasa kepada mereka. Sebagai seorang guru kamu seharusnya menjadi orang pertama yang sedar akan hal ini, namun, malangnya, kamu dituduh dan disabitkan atas kesalahan ini,” katanya,

Pada 7 Julai 2017, Razis mengaku tidak bersalah memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada kumpulan pengganas Daish menggunakan nama Razis di dalam kumpulan aplikasi Telegram ‘gagak hitam’ di Lorong Senangin 2/3, Taman Senangin , Kulim, Kedah, 8.11 pagi, pada 30 Mac 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau denda dan boleh dirampas harta yang digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah memiliki enam keping imej di dalam telefon bimbitnya dan tiga keping imej di dalam komputer ribanya berkaitan kumpulan pengganas di tempat sama, 7.20 malam, pada 28 September 2017.

GURU kaunseling sekolah menengah, Razis Awang, 32 dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Daish, dua tahun lalu. FOTO Saddam Yusoff
GURU kaunseling sekolah menengah, Razis Awang, 32 dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Daish, dua tahun lalu. FOTO Saddam Yusoff

Pendakwaan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak item terbabit.

Terdahulu, Razis dalam rayuannya menerusi peguam Syahredzan Johan, memohon mahkamah mengambil kira tugas tertuduh yang pernah berkhidmat sebagai guru dan tidak pernah menyebar fahaman berkaitan keganasan sebaliknya berkhidmat dengan baik selain hanya memberi sokongan dengan cara berbaiah di dalam aplikasi Telegram serta tidak menunjukkan sokongan secara terbuka termasuk di media sosial.

“Tertuduh sudah berkahwin dan perlu menanggung ibu bapa serta adik-beradiknya” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya membantah rayuan itu dan memohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam dan keselamatan negara sebagai asas utama dalam menjatuhkan hukuman.

“Pihak pendakwaan memohon satu hukuman berat dan pemenjaraan panjang diberikan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat dan tertuduh kerana pertuduhan memberi sokongan dan memiliki item pengganas adalah kesalahan yang boleh mengancam negara.

Pihak pendakwaan memanggil seramai 11 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula Mac lalu manakala pembelaan mengemukakan dua saksi untuk memberi keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 7:26 PM