Muhammad Saiful  mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Mac lalu.
Muhammad Saiful mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Mac lalu.
Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Seorang pereka grafik dijatuhi hukuman penjara masing-masing 20 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas dan enam keping wang palsu, Mac lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Saiful Hashim, 35, dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 22 Mac lalu.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, Saiful bukan saja memiliki gambar berkaitan Daish, tetapi turut ada dalam milikannya wang palsu, sekali gus menyifatkan tertuduh mempunyai minat dengan kumpulan pengganas itu.

“Selain itu, kamu mempunyai rekod lampau kes curi dan dadah dan walaupun tidak berkaitan dengan kes ini, tetapi ia menunjukkan kamu suka melakukan kesalahan,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki pelekat lambang kumpulan pengganas Daish dan imej gambar menunjukkan susunan senjata api, bom tangan dan peluru dengan nama Epol Antilabel berserta bendera yang ditemui dalam komputer riba.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau boleh dilucutkan hak mana-mana barangan itu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki enam keping wang kertas palsu RM10 dan berniat menggunakan wang palsu itu sebagai tulen dan didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di No 56 Jalan Sekolah Derma, Kangar, Perlis pada jam 9.45 pagi, 22 Mac lalu.

Terdahulu, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya atas alasan tertuduh hanya cuba-cuba dan tidak berniat memasuki mana-mana kumpulan militan.

Selain itu, gambar yang ditemui hanya untuk kegunaan sendiri.

“Dalam tempoh reman tertuduh cermin diri dan insaf atas perbuatannya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam memohon mahkamah memberikan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Selain itu, Mohamad Mustaffa berkata, mahkamah perlu mengambil kira keadaan dan keseriusan tindakan tertuduh yang memiliki barang berkaitan pengganas dan hukuman perlu memberi pengajaran kepada tertuduh dan amaran kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 9:08 AM