FOTO Twitter Khairy Jamaluddin
FOTO Twitter Khairy Jamaluddin
Nur Lela Zulkipli


AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, hari ini menggesa UMNO mengadakan pemilihan parti secepat mungkin.

Kenyataan melalui Twitter beliau itu susulan seorang demi seorang tokoh UMNO meninggalkan parti itu.

“Setuju. Pemilihan parti diadakan serta-merta,” katanya.

Terdahulu, Khairy membalas pengguna Tweet, @SyedRifqi99 berpendapat semua sayap UMNO dan anggota majlis tertinggi parti itu perlu menuntut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden parti.

“Selain itu, UMNO mesti mengadakan mesyuarat agung serta-merta bagi membolehkan parti memilih pemimpin baru.

“Hanya anggota UMNO yang boleh selamatkan Umno. BERSATU, Anwar dan PAS tak boleh,” katanya.

Kenyataan Khairy itu dikeluarkan beberapa jam selepas bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad disahkan keluar dari parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sementara itu, Anggota Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz pula menjadi pemimpin terbaru setakat ini yang mengumumkan keputusannya meletak jawatan dalam UMNO dan meninggalkan parti berkenaan.

Khairy sebelum ini sudah beberapa kali menunjukkan rasa tidak setujunya terhadap pendekatan UMNO di bawah Ahmad Zahid, antaranya sikap parti itu yang bekerjasama dengan PAS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 3:25 PM