GAMBAR fail, Ahmad Maslan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, Ahmad Maslan. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Hanya nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinamakan sebagai calon Perdana Menteri ke-9 oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan demikian menerusi ciapan di Twitter hari ini.

"Berpadu bersama Presiden Umno Datuk Seri Dr (Ahmad) Zahid Hamidi, Timbalan Datuk Seri Mohamad Hasan, Penasihat BN Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli-ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) Umno.

"Dihantar hanya satu nama sebagai calon Perdana Menteri oleh Ahli Parlimen Umno/BN pada 17/8/21 iaitu Ismail Sabri, Ahli Parlimen Bera," katanya dalam ciapan di Twitter.

Terdahulu, di Menara Dato' Onn, malam tadi berlangsung mesyuarat antara Ahli Parlimen BN bagi memutuskan calon Perdana Menteri yang perlu dihantar sebelum 4 petang hari ini kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia susulan notis dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan surat akuan bersumpah menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara, sebelum tempoh berkenaan.

Kenyataan Ahmad melalui media sosial turut menguatkan lagi pengakuan sama pemimpin dari BN yang ditemui selepas mesyuarat semalam iaitu Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Tajuddin dilaporkan berkata, Ismail Sabri sudah mendapat jumlah sokongan melebihi majoriti 111 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu.

"Kami mendapat sokongan daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pas," katanya.

Azalina pula dilaporkan berkata, Ismail Sabri dipilih sebagai calon Perdana Menteri kerana beliau antara pemimpin paling kanan selepas Presiden Umno (Ahmad Zahid) dan Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) Najib.

"Beliau juga bekas Timbalan Perdana Menteri. Dari segi itu, beliau dilihat boleh mendapat sokongan kami semua. Kami harapkan yang terbaik," katanya.

Azalina yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, mengakui kerajaan baharu yang perlu dibentuk ketika ini, mesti dalam bentuk gabungan dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak kerana perlu menguruskan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 9:17 AM