Zambry Abdul Kadir
Zambry Abdul Kadir
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang diadakan secara maya, malam ini.

Selain itu, Ahmad Zahid memaklumkan, mesyuarat sebulat suara bersetuju melantik Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Jawatankuasa BN Perlis yang baharu.

Zambry menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung Umno,

Ahmad memegang jawatan Setiausaha Agung BN berkuatkuasa serta-merta pada 5 Januari tahun lalu, menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang sebelum itu dipecat daripada jawatan itu.

Azlan pula menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Ahli Parlimen Arau.

Pada 24 April lalu, Umno turut melantik Azlan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis yang baharu menggantikan Shahidan.

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan, Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk menambah kekuatan jentera parti dari negeri untuk membantu pendaftaran vaksin Covid-19 terutama bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan penduduk di kawasan pedalaman.

"Dewan Tertinggi menyeru semua pihak agak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan Covid-19 yang sangat membimbangkan ketika ini," katanya.

Ahmad Zahid memaklumkan, mesyuarat dihadiri empat parti komponen BN iaitu Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu turut mendengar pembentangan laporan Mesyuarat Agung Tahunan dan Laporan Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 11:38 PM