AHMAD Zahid pada sidang media selepas melawat pameran mini usahawan bimbingan NCIA. FOTO Muhamad Lokman Khairi
AHMAD Zahid pada sidang media selepas melawat pameran mini usahawan bimbingan NCIA. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Bagan Datuk: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon di enam kawasan parlimen yang ketika ini disandang ahli parlimen daripada Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK).

Presiden Umno merangkap Pengerusi BN itu menjelaskan, hal ini berikutan Parlimen Kuala Kangsar, Gua Musang, Labuan, Jeli, Bukit Gantang dan Tanjung Karang adalah kerusi tradisi parti diketuainya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pihaknya akan melihat kepada keputusan mahkamah terlebih dahulu berhubung pindaan Perlembagaan Bersatu berkaitan pengosongan enam kerusi parlimen itu.

"(Enam) kerusi itu adalah kerusi yang dulunya dipegang oleh Umno, jadi kita akan mengadakan perundingan dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk menentukan jika ada pengosongan kerusi itu pasti perundingan untuk mendapatkan semula kerusi tersebut dan memberi keutamaan kepada calon Umno dan BN," katanya kepada media selepas menyempurnakan pameran mini dan menyerahkan kit perniagaan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan mahkamah memutuskan pengosongan kerusi bagi memberi laluan PRK di enam kawasan terbabit susulan pindaan atas Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Khas parti itu semalam, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Ia membabitkan Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menghantar surat kepada enam wakil rakyat terbabit untuk mendapatkan pengesahan sama ada mereka masih kekal dengan keputusan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyifatkan pindaan yang dibuat Bersatu adalah balasan Tuhan terhadap pengkhianatan Hamzah.

"Saya fikir pindaan yang dibuat oleh parti berkenaan adalah balasan daripada Allah SWT kerana dahulu, Setiusaha Agung (Hamzah) telah membawa ahli parlimen Umno untuk menyertai parti berkenaan.

"Kini, tanpa sebarang usaha pun daripada pihak Umno dan BN, kita lihat enam orang daripadanya bersama menyokong PMX (Perdana Menteri).

"Balasan daripada Allah SWT inilah yang akhirnya kita akan lihat bahawa biar pun mereka buat usaha untuk agar ahli parlimen partinya untuk mengosongkan kerusi, tapi tentunya pengosongan ini tak boleh berlaku kerana ia masih tertakluk kepada peraturan Parlimen sendiri dan perlembagaan negara," katanya.

Semalam, Syed Abu Hussin dilaporkan memaklumkan, enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap Anwar bertegas untuk tidak mengosongkan mana-mana kerusi sehingga mahkamah memutuskan untuk berbuat demikian.

Katanya, tindakan Bersatu meluluskan pindaan untuk melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya yang menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti adalah satu perkara yang sia-sia.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 3:03 PM