MUHAMMAD Adib
MUHAMMAD Adib
Faris Fuad


MUHAMMAD Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang parah dipukul dalam insiden rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, Selasa lalu, dilaporkan stabil.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, anggota itu bomba itu mampu berinteraksi dengan individu lain.

“Adib tidak boleh terlalu aktif,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pengoperasian Helikopter AW189 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di Subang Jaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Zuraida berkata, beliau sedih kerana Muhammad Adib menjadi mangsa keadaan ketika bertugas.

"Saya harap insiden itu tidak berulang, rakyat perlu hargai tugas bomba yang terdedah dengan pelbagai risiko," katanya.

Sebelum ini, NSTP melaporkan Muhammad Adib, 24, yang parah dipukul perusuh di depan kuil berkenaan, kini tidak lagi menggunakan mesin sokongan jantung.

Dia kini masih dirawat di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Mohamad Hamdan bagaimanapun berkata, Muhammad Adib masih lagi menggunakan mesin sokongan untuk paru-paru.

"Saya diberitahu oleh pakar kardiotorasik, (Datuk Dr Mohamed Izani Md Taib) bahawa jantungnya sudah berfungsi dengan sendiri.

"Dia tidak lagi memerlukan mesin sokongan untuk jantung. Keadaannya masih lagi dikategorikan sebagai kritikal namun stabil," katanya.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 12:05 PM