LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Hazira Ahmad Zaidi


“SUAMI saya baru saja meninggal dunia sebulan lalu, kini anak saya pula pergi buat selamanya.” Itu kata Rohana Harun, 50, ibu kepada mangsa lemas di Sungai Golok dekat Rantau Panjang, Mohd Sayuti Nawi, 38.

Mohd Sayuti yang terjatuh ke sungai itu ditemui lemas di sungai berdekatan Kampung Dangar, di Rantau Panjang, 11 pagi ini

Rohana berkata, dia masih lagi bersedih dengan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu, namun tetap tabah dan menerima hakikat kehilangan dua orang tersayang dalam masa terdekat.

“Kini tinggal saya keseorangan di rumah selepas pemergian anak dan suami. Biasanya dia (Mohd Sayuti) yang akan tinggal bersama saya di rumah biarpun sudah berkahwin dengan isterinya yang tinggal di Thailand.

“Kali terakhir saya berjumpa dan makan bersamanya pada Isnin lalu, sebelum dia memberitahu saya untuk pergi ke rumah isterinya.

“Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali ada membebaskan burung tekukur yang dijaganya sejak dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik Forensik Hospital Pasir Mas (HPM), Pasir Mas.

Rohana berkata, anaknya itu mencari duit dengan mengambil upah membawa orang dengan motosikal di pekan Rantau Panjang dan banyak membantunya menyediakan keperluan keluarga.

“Saya pasti merinduinya kerana dia anak yang baik dan ramah terutama dengan orang tua. Dia turut disenangi adik-beradik yang lain dan penduduk kampung.

“Kami akan mengebumikan jenazah secepat mungkin selepas bedah siasat dijalankan. Dia akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Luar, Gual Periok, di Rantau Panjang, berdekatan kubur arwah bapanya,” katanya.

Berita berkaitan

'Tiba-tiba, dia terjun ke sungai...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 3:24 PM