ROHANA Jalil (gambar kiri) Kilafairy (gambar kanan). FOTO ihsan IG
ROHANA Jalil (gambar kiri) Kilafairy (gambar kanan). FOTO ihsan IG
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI Rohana Jalil, 62, mengakui senang hati jika anaknya Kilafairy, 27, menamatkan zaman bujang secepat mungkin.

Rohana berkata, sebagai ibu sudah semestinya dia mahukan anaknya yang juga penyanyi dan pelakon itu mempunyai pasangan dan hidup bahagia.

"Kalau boleh saya memang nak Kila cepat kahwin. Gembira rasanya kalau anak dah lepas (kahwin). Saya tahu buat masa ini dia memang berkawan-kawan dengan lelaki. Apabila ditanya mengenai soal tunang atau kahwin, dijawabnya lambat lagi," katanya kepada Harian Metro.

Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jahangir Khan sebelum ini sinonim dengan imej seksi sehingga mengundang kecaman peminat.

Bagaimanapun pada hari raya ke-11 lalu, dia melakukan perubahan dalam hidup apabila membuat keputusan bertudung.

Mengulas perkara terbabit, Rohana berkata, dia sangat bersyukur dan menyambut baik keputusan anak bongsunya itu.

"Perubahan itu dibuat sendiri tanpa paksaan. Tengok-tengok saja dia sudah bertudung. Kila beritahu dia memang serius nak bertudung dan saya mendoakan yang terbaik. Minta-minta apa yang dilakukan ini berkekalan tapi saya tengok setakat ini okay," katanya.

Penyanyi lagu Rayuanku ini berkata, Kila juga sudah menjual koleksi baju seksinya itu.

"Saya tak benarkan dia berikan begitu saja atau sedekah kerana tak bagus pula. Saya sedar Kila sentiasa berdepan kecaman warganet sebelum ini tapi sebagai ibu saya tak runsing sangat.

"Ketika zaman muda pun, saya dah merasai semua ini. Saya tak layan segala cerita negatif mengenai Kila. Kalau ambil peduli memang akan sakit hati," katanya.

Rohana bagaimanapun mengakui suaminya seorang yang tegas dan selalu menasihatkan Kila agar sentiasa menjaga diri.

"Kalau berlakon pun, bapanya tak suka babak keterlaluan antaranya babak atas katil dengan pelakon lelaki. Kila nampaknya dengar cakap dan itulah sebabnya dia jarang berlakon babak begini.

"Dia memang tinggal dengan kami dan tak suka tinggal sendiri. Lagipun dia masih 'single' dan saya memang tak benarkan," katanya.

Rohana turut meluahkan kesyukuran kerana rezeki anaknya tetap ada biarpun sudah berhijrah. "Alhamdulillah, rezekinya pun mencurah-curah masuk. Ada tawaran berlakon dan buat ulasan jubah dan tudung dengan bayaran memuaskan.

"Memang banyak tawaran yang diperoleh dan Kila nampak gembira dengan kehidupannya sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 6:10 PM