TIDAK terfikir untuk rakam lagu baharu kerana belum tentu dapat tempat di stesen radio.  FOTO: Hafiz Sohaimi
TIDAK terfikir untuk rakam lagu baharu kerana belum tentu dapat tempat di stesen radio. FOTO: Hafiz Sohaimi
Norhayati Nordin


LEBIH tiga dekad berkecimpung dalam industri hiburan membuatkan penyanyi berpengalaman, Rohana Jalil, 64, cukup memahami rentaknya. Rohana yang juga ibu kepada pelakon dan penyanyi Kilafairy berkata, dia juga tidak terfikir mahu merakamkan lagu baharu.

Menurut pemilik nama sebenar Dara Abdul Jalil ini, dia lebih selesa terus menyanyikan lagu popular yang pernah dirakam sekitar era 1980-an dan 1990-an.

“Sebagai penyanyi lama, siapa yang tidak mahu merakamkan lagu baharu jika berpeluang. Untuk saya sendiri, nak rakam lagu memang tidak ada masalah tapi yang selalu difikirkan apakah lagu itu dapat dimainkan di stesen radio?” katanya.

Rohana berkata, dia tidak mahu bazirkan wang hanya disebabkan mahu muncul dengan lagu baharu sedangkan lagu lama masih mendapat perhatian.

“Saya bersyukur kerana hingga sekarang saya gembira menyanyikan lagu lama yang pernah melonjakkan nama sebagai penyanyi dulu. Kebanyakan lagu saya seperti Masih Dalam Ingatan, Rayuanku, Resahku, Jangan Main Mata, Faez dan Naluri Cinta disukai pendengar,” katanya juara Bintang RTM pada 1980 ini.

Rohana berkata, berdasarkan pengalamannya dia mendapati kebanyakan penyanyi era 1980-an dan 1990-an memang ada lagu sendiri yang berjaya mempopularkan nama masing-masing.

“Contohnya apabila saya mendendangkan lagu Rayuanku dalam persembahan nyanyian, secara automatik orang sudah kenal dan ingat siapa saya. Disebabkan sudah ada lagu sendiri yang memang orang kenal, saya fikir lebih baik terus menyanyikannya selagi diminta,” katanya.

Rohana berkata, tidak menjadi masalah untuk penyanyi lama sepertinya menyediakan sekitar RM5,000 atau RM6,000 untuk mendapatkan lagu baharu.

“Bagi penyediaan wang untuk merakam lagu baharu, saya yakin mampu memperolehnya. Namun, selepas rakaman sejauh mana lagu itu ada peluang untuk dimainkan? Apatah lagi, pada masa sekarang sama ada penyanyi lama atau bakat baharu, masalah sama dihadapi adalah lagu sukar dimainkan di stesen radio.

“Peluangnya ikut nasib. Stesen radio akan mainkan lagu itu jika ia sudah mendapat tempat di hati pendengar dengan cara popular di platform digital seperti YouTube,” katanya.

Rohana berkata, adalah wajar untuk peluang diberikan lebih dahulu apabila setiap lagu baharu yang dihantar penyanyi cuba dimainkan stresen radio dalam tempoh sebulan.

“Saya yakin jika hari-hari dimainkan, pasti orang akan suka. Namun, jika tidak diberi peluang sudah tentu tak ke manalah. Bagaimanapun, saya sedar kalau nak buat lagu baharu kena sesuai dengan era kini. Sebagai penyanyi, kena dapatkan pencipta lagu yang betul. Jangan membazir wang,” katanya.

Mengulas perkembangan karier nyanyiannya, Rohana berkata, dia sangat bersyukur kerana sehingga sekarang masih mendapat tawaran persembahan walaupun tidak kerap dan banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 4:30 AM