Rohana menunjukkan gambar Muhammad Shafiq Aswad (duduk kanan). FOTO Hidayatidayu Razali.
Rohana menunjukkan gambar Muhammad Shafiq Aswad (duduk kanan). FOTO Hidayatidayu Razali.
Hidayatidayu Razali


Pasir Puteh: "Dia mahu pulang ke kampung cuti sekolah ini namun ayahnya tidak dapat cuti," kata Rohana Ghazali, 63, berhubung hasrat cucunya Allahyarham Muhammad Shafiq Aswad Shahril Naim, 11.

Muhammad Shafiq Aswad adalah salah seorang mangsa yang lemas di kolam latihan sebuah kem tentera Batu Lima di Mentakab, Pahang, semalam.

Rohana berkata, cucunya itu yang juga anak kedua daripada lima beradik sangat rapat dengannya.

Menurutnya, kali terakhir mereka berjumpa adalah pada Hari Raya Aidilfitri lalu ketika anaknya, Noriah Abdul Rashid, 35, dan menantu Koperal Shahril Naim Isa, 39, pulang ke kampung.

"Anak selalu berhubung dan maklumkan cucu termasuk arwah mahu balik kampung, namun tidak dapat pulang pada cuti sekolah ini kerana ayah mereka tidak cuti.

"Namun, saya dikejutkan dengan kejadian cucu lemas di kolam selepas dihubungi rakan anak pada 5.50 petang semalam," katanya ketika ditemui di Kampung Wakaf hari ini.

Rohana berkata, ketika pulang ke kampung cucunya tidak pernah mandi sungai atau kolam.

"Begitu juga ketika berada di kem tentera, cucu tidak pernah ke kolam itu dan hanya bermain bola sepak di padang," katanya.

Sementara itu jenazah Muhammad Shafiq Aswad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wakaf di sini, pada jam 9.50 malam.

Terdahulu media melaporkan, Muhammad Shafiq Aswad dan dua rakan iaitu Aiman Syafiq Sudirman, 11, dan Amar Mukhlis Mohd Anizan, 13, ditemukan lemas di kolam latihan sebuah kem tentera di Batu Lima, Mentakab, Pahang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 5:26 PM