Yusmizal Dolah Aling dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Air mata kegembiraan mengiringi Rohana Abdullah, 22, apabila menerima surat tawaran menyambung pengajian dan tajaan pembiayaan pengajian di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Rohana tidak mampu menahan sebak dan menitiskan air mata selepas menerima surat tawaran daripada Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin.

Rohana berkata, dia bersyukur dapat menyambung pengajian peringkat diploma UTeM.

"Diploma Sains Komputer adalah pilihan kedua saya. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu.

"Kalau ikutkan cita-cita saya ingin menyambung pengajian di bidang kedoktoran tetapi saya sedar kemampuan diri," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Surat Tawaran di kediamannya, hari ini.

Menurutnya, biarpun terpaksa meninggalkan ibu angkatnya dengan hati yang berat, dia berharap semuanya akan berjalan dengan baik.

Katanya, sejak proses permohonan lagi, ibu angkatnya, Chee Hoi Lan, 83, atau Laoshi seperti 'susah hati' untuk melepaskan dia sambung belajar, namun selepas diterangkan keadaan yang sebenar, dia mula faham.

"Memang pada mulanya dia (Laoshi) sangat berat nak lepaskan saya, namun demi melihat saya berjaya dia korbankan perasaan itu," katanya.

MASSILA menyerahkan surat tawaran pengajian di UTeM kepada Rohana dan Hoi Lan. FOTO Fathil Asri
MASSILA menyerahkan surat tawaran pengajian di UTeM kepada Rohana dan Hoi Lan. FOTO Fathil Asri

Sementara itu, Massila berkata, keputusan Rohana yang cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membolehkan dia ditawarkan ke UTeM.

"Keputusan Rohana memang sangat baik, sebab itu kita tawarkan dia dan dia dipilih dalam program anak emas UTeM.

"Rohana akan mendaftar pengajian pada Isnin ini dan pengajiannya ditanggung sepenuhnya oleh UTeM menerusi tajaan pembiayaan pengajian Yayasan Canselor," katanya.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim menyifatkan usaha beliau dan beberapa pihak lain akhirnya membuahkan hasil.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UTeM yang menawarkan pengajian peringkat diploma dengan biasiswa penuh kepada Rohana ini adalah langkah yang baik.

"Dalam tempoh lapan bulan bermula dengan permohonan kewarganegaraan Malaysia kemudian menerima tawaran pelajaran, Insya-Allah Rohana akan mula kehidupan baru," katanya.

Kisah Rohana yang dijaga ibu angkat berlainan agama sejak berusia dua bulan sehingga kini disiarkan secara eksklusif oleh Harian Metro bermula 14 Januari lalu.

Dua beranak itu meminta bantuan Gulam Muszaffar untuk mendapatkan taraf kerakyatan selepas dia ditinggalkan sejak kecil.

Ia mengundang reaksi banyak pihak selain ramai yang memuji sikap murni Chee Hoi Lan yang berusaha mengekalkan Rohana dengan agama asal sehingga hari ini.

Kisah gadis yang bekerja sebagai pengajar di pusat tuisyen itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menghubunginya untuk membantu.

Detik manis itu akhirnya tiba pada 29 April lalu selepas dia mendapat taraf kewarganegaraan menerusi Surat Keputusan Kewarganegaraan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 1:26 PM