NOORZAINY (kanan) menunjukkan antara barangan dirampas dalam Ops Rentap selepas menahan seorang lelaki berusia 60 tahun terbabit dalam kejadian samun warga emas pada sidang media di IPD Seberang Perai Utara di Kepala Batas, hari ini. FOTO Danial Saad.
NOORZAINY (kanan) menunjukkan antara barangan dirampas dalam Ops Rentap selepas menahan seorang lelaki berusia 60 tahun terbabit dalam kejadian samun warga emas pada sidang media di IPD Seberang Perai Utara di Kepala Batas, hari ini. FOTO Danial Saad.
Nur Izzati Mohamad


KONONNYA datang untuk mengajak individu seusianya ke majlis kenduri kesyukuran, sebaliknya ia adalah taktik digunakan seorang penjenayah untuk melakukan kegiatan samun di sekitar Kepala Batas.

Itu modus operandi digunakan seorang suspek berusia 60 tahun yang dikesan melakukan tujuh kes samun di daerah Seberang Perai Utara dan Kedah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata suspek yang ditahan pada Khamis lalu kini disambung reman sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut.

“Suspek ditahan di rumah dekat Taman Belatuk, Nibong Tebal selepas polis mendapat laporan daripada seorang wanita warga emas yang patah paha apabila disamun di rumahnya dekat Pajak Song, Kepala Batas pada 1 November lalu.

“Sebelum itu, suspek memberitahu mangsa bahawa dia adalah kakitangan Tenaga Nasional Berhad (BHD) dan mahu menjemput mangsa untuk menghadiri majlis kenduri kesyukuran sebelum dia bertindak menyamun mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Kepala Batas, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan kes samun dan mula bergiat aktif sejak September lalu.

Katanya, suspek hanya menumpukan mangsa terdiri daripada warga emas untuk memudahkan dia menjalankan kegiatan jenayah.

“Jumlah kerugian dialami semua mangsa dalam kegiatan samun dijalankan suspek dianggarkan berjumlah RM42,000.

“Polis meminta semua mangsa berkenaan hadir ke IPD daerah ini untuk pengecaman barangan termasuk jika ada mangsa lain yang pernah disamun suspek untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 dan 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 9:46 PM