Janda anak lima antara lapan individu yang ditahan AADK dan JKM. FOTO Ihsan AADK
Janda anak lima antara lapan individu yang ditahan AADK dan JKM. FOTO Ihsan AADK
Faliq Lajim


LAPAN individu termasuk janda anak lima ditahan dalam Ops Bersepadu Perangi Dadah Habis-Habisan 3.0 Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Klang dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang di sekitar daerah itu hari ini.

Lebih mengejutkan turut ada bersama ibu muda berusia 27 tahun itu dua anaknya termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) berusia setahun.

Operasi bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 8 malam itu turut menahan tiga individu lain yang juga bekas suami, bapa tiri serta adik lelakinya yang leka melepaskan gian di sebuah pangsapuri di Kota Pendamar di sini.

Menurut sumber AADK, sejurus menerima maklumat, tujuh anggota dan pegawainya bersama tiga pegawai JKM melakukan serbuan di sebuah rumah di tingkat satu pangsapuri itu.

Katanya, hasil serbuan, wanita yang juga tuan rumah bersama tiga lelaki iaitu bekas suami, bapa tiri dan adik lelakinya sedang menghisap syabu.

“Siasatan turut mendapati, semua suspek sudah terbabit dalam najis dadah sejak setahun lalu.

“Dalam serbuan itu juga, kita turut menemui dua kanak-kanak yang juga anak kandungnya termasuk seorang daripadanya berusia setahun yang cacat pada bahagian kaki serta menghidap penyakit paru-paru berlubang dipercayai kesan pengambilan dadah ketika ibunya mengandungkannya.

“Selepas menahan mereka, kami membawa wanita itu untuk mengambil anak sulungnya berusia 10 tahun di sekolah sebelum ketiga-tiga anaknya diserahkan kepada JKM.

“Wanita itu turut mempunyai dua lagi anak yang sebelum ini diserahkan kepada sebuah keluarga di Perak,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu didapati bersekedudukan dengan bekas suaminya walaupun sudah bercerai dan tinggal di rumah itu sejak enam tahun lalu.

Katanya, AADK turut menahan empat individu lain masing-masing seorang lelaki di Teluk Pulai, wanita di Meru manakala lelaki dan wanita di Sentosa.

Sumber berkata, pihaknya akan memohon perintah tahanan reman selama 14 hari terhadap semua suspek itu esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Sementara itu, Ketua Daerah AADK, Baharuddin Ahmad mengesahkan kes itu.

Ends...

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 9:49 PM