KANAK-KANAK antara mangsa yang terkesan dalam bencana alam di Sulawesi, Indonesia. FOTO Reuters
KANAK-KANAK antara mangsa yang terkesan dalam bencana alam di Sulawesi, Indonesia. FOTO Reuters
Suraya Roslan


BAGI mengubati kedukaan kanak-kanak yang menjadi mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami di Palu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengambil inisiatif membawa maskot Upin dan Ipin ke sana, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan kostum watak kartun kanak-kanak popular itu yang turut digemari di Indonesia sebagai sebahagian daripada program bantuan.

Katanya, ia susulan terlalu banyak permintaan untuk MAPIM membawa pasukan kecemasan dan trauma untuk memulihkan mangsa yang masih terkejut dengan tragedi itu.

"Jadi untuk misi kali kedua ini, saya berbincang dengan kenalan di Les Copaque dan ada maklum balas positif.

"Menerusi akaun Facebook, saya mohon sokongan daripada rakan-rakan untuk kita bawa hajat anak-anak ini ke sana," katanya kepada Harian Metro.

Ahmad Sani berkata, MAPIM akan bertolak ke Palu petang ini untuk misi selama lima hari di sana, membawa bantuan dan keperluan asas untuk mangsa tragedi.

Menurutnya, berbeza dengan misi pertama minggu lalu, kali ini pihaknya akan memasuki lokasi yang sebelum ini sukar untuk sampai memandangkan masih ada mangsa yang belum disantuni kerana masalah laluan.

"Kita sudah siapkan barangan bantuan yang akan dihantar menerusi 12 trak ke kawasan terjejas. Selain itu menerusi rakan gabungan bukan kerajaan di sana, kita akan teruskan Dapur Ummah untuk memberikan makanan kepada penduduk setempat," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dijangka membuat pelepasan misi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 2:49 PM