Dr Ahmad Sani Araby bersama sukarelawan Mapim meninjau keadaan banjir di Maran, Pahang. FOTO ihsan pembaca
Dr Ahmad Sani Araby bersama sukarelawan Mapim meninjau keadaan banjir di Maran, Pahang. FOTO ihsan pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pengalaman melihat sendiri keadaan beberapa kawasan di Pahang yang terjejas akibat banjir menerusi udara mendorong Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengaktifkan bantuan tiga fasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata, semua aset dan jentera akan dikerah ke lapangan termasuk kawasan pedalaman bagi membantu mangsa terjejas.

Katanya pengalaman membuat tinjauan udara semalam dan hari ini bersama Pengarah Urusan Azlan Al-Amin Properties Sdn Bhd, Mohd Azlan Abdullah Al-Amin memberikan banyak input terutama kesukaran untuk memberikan bantuan.

Katanya, buat masa ini, maklumat lebih terperinci akan dikumpul Mapim bagi penyampaian bantuan secara pra dan pasca banjir, bagi fokus kawasan Maran dan Kuantan.

"Walaupun sudah banyak misi saya sertai di seluruh dunia, pengalaman menaiki helikopter untuk sampai di kawasan sukar memang mengujakan.

"Dari udara kita tahu kawasan paling terjejas dan bantuan mengambil masa untuk sampai, kita turun bantu dan buat kajian lapangan," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Ahmad Sani berkata, sebanyak 250 pek makanan siap dimasak turut dibawa di dalam helikopter hari ini (semalam) untuk disampaikan kepada mangsa banjir dan barisan hadapan.

Katanya, pihaknya memerlukan masing-masing 10,000 kotak bantuan makanan, kit kebersihan diri, kit solat dan kendara saji untuk 500 makanan panas kepada petugas dan mangsa tiga kali sehari.

"Selain itu, bas bertingkat Mapim akan menjadi klinik untuk merawat mangsa dan mereka yang memerlukan.

"Kita membawa 80 aktivis Mapim dan untuk fasa ketiga pasukan pasca banjir untuk membersihkan kawasan dan rumah manakala bantuan lain mengikut keperluan semasa di lapangan," katanya.

Beliau berkata, dianggarkan dana kilat yang diperlukan adalah RM1.5 juta untuk Misi Bantuan dan Pasca Banjir.

Mapim merayu infaq dan bantuan segera supaya bantuan dapat digerakkan lebih meluas sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai mangsa.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi www.BantuUmmah.com atau menerusi Tabung Kemanusiaan Mapim menerusi akaun 562263540066 (Maybank).

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, pihaknya terpanggil membantu mangsa banjir yang terjejas teruk kali ini.

"Kita ingin membantu Mapim untuk pengagihan bantuan dalam misi kemanusiaan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 9:07 PM