MOHD Abduh (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas daripada suspek.
MOHD Abduh (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas daripada suspek.
Adnan Ibrahim

Kluang: Hanya kerana tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah oleh isterinya, seorang lelaki berusia 40-an mengamuk sambil memegang sebilah parang serta sebutir bom mortar.

Dalam kejadian di Taman Kluang Indah di sini, kira-kira jam 7.45 pagi semalam, suspek mengamuk di hadapan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kluang Asistan Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pihaknya bertindak melalui maklumat yang disampaikan isteri suspek dan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memujuk suspek, lelaki itu tidak mahu memberikan kerjasama, malah turut mengugut menyerang polis dengan menggunakan senjata yang ada di kedua-dua belah tangannya.

“Memandangkan suspek masih berdegil untuk menyerah diri, kita mendapatkan bantuan Unit Tentera Mekanikal Rifle Persenjataan (AMRA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk menggunakan pistol Taser.

“Bagaimanapun, ketika suspek kelihatan khayal, polis membuat serbuan ke dalam garaj dan menangkap lelaki itu selepas kira-kira dua jam 45 minit memujuknya,” katanya ketika sidang media di Bilik Wawasan IPD Kluang di sini, semalam.

Mohd Abduh berkata, siasatan awal mendapati kejadian amuk itu berpunca daripada keengganan isteri suspek yang berusia 39 tahun membenarkannya bertemu dengan tiga anak berusia enam bulan, 18 tahun dan 19 tahun.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui sebutir bom mortar yang berkarat, dua parang, dua pisau serta satu beg sandang berwarna hitam.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau serta satu kes memukul isteri dan anak pada 6 September lalu. Kedua-dua kes ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga 2017 serta dikehendaki polis bersabit kes berkenaan,” katanya.

Menurutnya, suspek yang juga bekas anggota penguat kuasa diberhentikan kerja pada 2014.

Katanya, suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, siasatan mendapati bom mortar digunakan untuk latihan ketenteraan dan pihaknya menyiasat bagaimana lelaki itu mendapatkan bom terbabit.

“Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mengenal pasti bom mortar itu sama ada masih aktif dan siapai pemilik sebenar bom berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 12:25 PM