KEADAAN rumah yang berselerak dan mangsa (gambar kanan) yang cedera selepas diserang menggunakan parang oleh suspek di Taman Kiara Mas 2, Kluang. FOTO NSTP/Tular Media Sosial.
KEADAAN rumah yang berselerak dan mangsa (gambar kanan) yang cedera selepas diserang menggunakan parang oleh suspek di Taman Kiara Mas 2, Kluang. FOTO NSTP/Tular Media Sosial.
Adnan Ibrahim


SEPASANG suami isteri berdepan detik cemas apabila diserang dengan parang oleh lelaki yang seolah-olah sedang dirasuk ketika menjalankan upacara rawatan tradisional sebelum lelaki terbabit membunuh diri dengan menikam badannya sendiri.

Mangsa yang juga pesara berusia 47 tahun dan isterinya yang berusia 41 tahun mengalami cedera ringan akibat dilibas dengan parang.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 10.30 pagi ini selepas mangsa perempuan menghubungi talian kecemasan memaklumkan dia dan suaminya diserang seorang lelaki dengan parang, dalam kejadian di Taman Kiara Mas 2.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, suspek lelaki berusia 25 tahun dan bekerja sebagai kerani di sebuah institusi kewangan adalah adik angkat mangsa yang tinggal di Taman Sri Impian, dan kerap datang ke rumah mangsa bagi tujuan rawatan kepada isteri mangsa yang dikatakan mengalami penyakit buatan orang.

“Suspek datang seorang diri ke rumah mangsa sebelum terus menjalankan upacara perubatan dalam sebuah bilik sebelum secara tiba-tiba suspek dikatakan seperti dirasuk dan bertindak mencederakan mangsa menggunakan sebilah parang.

“Wanita itu yang cuba membantu suaminya turut dicederakan sebelum mereka melarikan diri dengan keluar dari bilik terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Abduh berkata, ketika sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang tiba di tempat kejadian, suspek masih berada dalam bilik terbabit dan usaha untuk memanggilnya keluar tidak berhasil.

Katanya, pihak polis kemudian bertindak memecahkan pintu bilik dan menjumpai suspek dalam keadaan terlentang sebelum pemeriksaan lanjut mendapati dia sudah meninggal dunia dipercayai akibat membunuh diri berdasarkan kesan tikaman di dada serta perut.

Beliau berkata, polis turut menjumpai sebilah keris panjang di belakang badan suspek.

“Polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian suspek,” katanya.

Mohd Abduh berkata, semakan rekod jenayah lampau pasangan suami isteri dan suspek mendapati mereka tiada sebarang rekod jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 9:43 PM