FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Farah Marshita Abdul Patah

TIGA polis termasuk seorang berpangkat Inspektor dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas tuduhan menculik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, lima tahun lalu.

Hakim Mohd Zulbahrin Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Inspektor Mohd Khairul Hafiz Yaacob, 38, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, manakala tiga anggota lain iaitu Lans Koperal Azlan Abdul Kadir, 38 dan Koperal Amran Md Sali, 42, masing-masing bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Ia selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh Mohd Khairul Hafiz dan Azlan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap mereka pada 11 Oktober 2015 manakala Amran bermula hari ini.

Terdahulu, hakim menolak permohonan peguam bela supaya anak guam mereka dibenarkan ikat jamin dan menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melarikan K Gopala Guru, 51, dengan niat menyebabkan orang itu dikurung secara sulit dan salah di Jalan Maharajalela, Off Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, antara jam 7 dan 7.30 malam, pada 2 Februari 2013.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat Seksyen 365 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, peguam Mohd Farid Aziz, Ridha Abdah Subri dan Mohamad Afza Zahari yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan anak guam sudah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama hampir 20 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz dan Muhammad Farith Muhammad Faizal, membantah rayuan itu dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pencegahan terhadap kesemua tertuduh mengambil kira faktor mangsa yang diculik dan dilarikan dalam kes ini tidak dijumpai sehingga kini.

“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira perasaan dan emosi keluarga mangsa yang kehilangan seorang bapa, suami dan anak.

“Perbicaraan kes ini juga mengambil masa yang panjang sejak tahun 2015," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 4:27 PM