FOTO ihsan abcnews
FOTO ihsan abcnews

Kuala Lumpur: Empat anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap pertuduhan melarikan dan mengurung seorang ahli perniagaan yang bergelar Datuk, dua tahun lalu.

Mohd Khairul Hafiz Yaacob, 33, yang bertugas sebagai Inspektor di IPD Ampang, manakala tiga anggota lain iaitu Khairon Zaidee Basiron, 33, Azlan Abdul

Kadir, 35, dan Amran Md Sali, 39, masing-masing bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, membuat pengakuan di hadapan Hakim Jagjit Singh Bant Singh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melarikan dan mengurung secara salah K Gopala Guru, 48, di Jalan Maharajalela, Off Jalan Loke Yew, antara 7 malam dan 7.30 malam, pada 2 Februari 2013.

Kesemua tertuduh, yang kini digantung tugas, didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohammed Yusoff tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan ia kesalahan serius.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan tidak menghampiri atau mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 2 Disember ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 7:13 PM