TUANKU Syed Faizuddin (tiga kanan) dan Hassan (empat kiri) menyertai kayuhan pada Program Kayuhan Amal Bersama Raja Muda Perlis sempena mengisi Tabung Mobiliti Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Kampus UiTM Puncak Alam, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
TUANKU Syed Faizuddin (tiga kanan) dan Hassan (empat kiri) menyertai kayuhan pada Program Kayuhan Amal Bersama Raja Muda Perlis sempena mengisi Tabung Mobiliti Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Kampus UiTM Puncak Alam, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
Siraj Mohd Zaini


UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) menubuhkan Tabung Mobiliti Pelajar khusus untuk membiayai pelbagai program membabitkan penuntut universiti awam (UA) itu.

Naib Canselornya Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, tabung itu antara lain untuk membiayai program pertukaran penuntut UiTM ke luar negara, ‘summer school’, ‘finishing school’, keusahawanan, latihan industri serta pelbagai aktiviti lain.

“Langkah ini juga akan melonjakkan program pengantarabangsaan yang sedang dilaksanakan UiTM sekali gus bagi memastikannya bergerak seiring dengan universiti terkemuka di luar negara.

“Selain dapat menyerlahkan lagi peningkatan kedudukan UiTM dalam penarafan universiti dunia. Program mobiliti ini akan memberi nilai tambah kepada mahasiswa UiTM agar menjadi pilihan utama majikan.

“UiTM mahu penuntut dapat merasai pembelajaran antarabangsa dengan suasana pembelajaran daripada sudut berbeza. Ia penting untuk menggilap potensi yang ada dalam diri setiap penuntut UiTM,” katanya.

Beliau berucap sempena Program Kayuhan Amal Bersama Raja Muda Perlis bagi mengisi Tabung Mobiliti Pelajar UiTM di Kampus UiTM Puncak Alam, hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajudddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan mencemar duli menyertai kayuhan amal sejauh 15 kilometer serta pertandingan 'Gorgo Race' bersama 1,300 peserta lain.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah meminta masyarakat menanam sifat prihatin serta tanggungjawab sosial di dalam diri bagi memastikan kejayaan agenda pendidikan anak bangsa.

“Inisiatif UiTM yang menganjurkan program mobiliti mendapat sambutan menggalakkan daripada semua pihak serta perlu diteruskan pada masa akan datang.

“Beta amat sukacita apabila mengetahui jumlah penyertaan peserta daripada pelbagai kategori sangat memberangsangkan.

“Sesungguhnya, ini jelas menunjukkan sokongan padu daripada semua pihak, baik dari UiTM sendiri mahupun masyarakat luar yang positif terhadap objektif utama program amal ini,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 3:59 PM