TUANKU Syed Faizuddin (tengah, kot biru muda) bersama kira-kira 500 pelajar Malaysia yang menuntut di beberapa universiti di Jordan pada program 'Liqa Mawaddah'. FOTO Bernama/MAIPs
TUANKU Syed Faizuddin (tengah, kot biru muda) bersama kira-kira 500 pelajar Malaysia yang menuntut di beberapa universiti di Jordan pada program 'Liqa Mawaddah'. FOTO Bernama/MAIPs
BERNAMA

KAHERAH: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengambil inisiatif menganjurkan program 'takhrij' atau penilaian hadis agar ilmuan agama tidak terbabit dalam penyebaran hadis palsu.

Titah baginda ini berikutan umat Islam semakin tercabar dalam zaman teknologi berikutan tindakan golongan tertentu yang sentiasa berusaha mengganggu-gugat fahaman orang Islam menggunakan hadis tidak sahih atau palsu.

Menurut baginda perbuatan itu bukan sahaja dilakukan oleh orang awam malah golongan agama yang bukan ahli dalam bidang hadis namun terlibat menyebarkan hadis tidak sahih.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang DiPertua MAIPs bertitah merasmikan 'Liqa Mawaddah' yang dihadiri kira-kira 500 pelajar Malaysia yang menuntut di Kaherah, Mesir di Markaz Syeikh Zayed, Universiti Al-Azhar di sini, petang semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari; Setiausaha Kerajaan Perlis, Ahmad Zamri Khairuddin serta Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohamad Asri Zainul Abidin dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Ustaz Mohamad Nazim Mohamad Nor.

Baginda dalam rangka lawatan kerja sehari untuk menemui pelajar-pelajar Perlis di Mesir serta merasmikan dewan baharu Rumah Perlis di Hayyu Sabie di sini yang ditaja oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

Tuanku Syed Faizuddin bertitah MAIPs memanfaatkan kepakaran pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malam, Perak, Dr Mohamad Rozaimi Ramli yang membuat pengkhususan dalam bidang hadis dengan melantik beliau sebagai ahli jawatankuasa Fatwa Perlis.

"Bagi penuntut ilmu agama, amat mustahak untuk mengenali sumber hadis, bagaimana ia disaring dan dinilai sehingga dipastikan statusnya sebagai sebuah hadis.

"Saya difahamkan ramai pelajar Malaysia mempelajari agama tetapi tidak mahir dalam bidang takhrij. Oleh itu ambillah peluang ini yang diusahakan oleh MAIPs," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Sebelum itu, Azlan dalam ucapannya menasihatkan pelajar belajar bersungguh-sungguh dan merancang hala tuju mereka setelah tamat belajar supaya tidak kecewa sekiranya gagal mendapat pekerjaan kelak manakala Dr Mohamad Asri turut memberikan tazkirah.

Mohamad Asri yang menjawab soalan seorang pelajar selepas tazkirah yang hendak mengetahui sama ada Perlis berpegang pada fahaman Wahabi atau tidak dengan tegas menjelaskan bahawa Perlis berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 11:35 AM