TUANKU Syed Faizuddin (tengah)l menerima kunjungan daripada AWF dan MWA di Galeri Istana Arau.
TUANKU Syed Faizuddin (tengah)l menerima kunjungan daripada AWF dan MWA di Galeri Istana Arau.
Oleh Shahidi Shahidan

Arau: Perlis bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) edisi ke-9 pada 2020.

Persatuan Woodball Perlis (PWPs) menerusi satu kenyataan kelmarin, berkata kejohanan terbabit dijangka berlangsung enam hari sekitar bulan Julai atau Ogos dan tarikh muktamad akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

“Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Penaung DiRaja dan pengasas Persatuan Woodball Perlis (PWPs) sudah dimaklumkan mengenai kejohanan ini.

“Presiden Persekutuan Woodball Asia (AWF) Thomas Kok dan Presiden Persatuan Woodball Malaysia (MWA) Elaine Tan turun mengadap dan menyampaikan taklimat khas kepada baginda di Galeri Istana Arau.

Kenyataan itu juga menyebut, gelanggang woodball di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dipilih sebagai venue utama kejohanan tersebut.

“Empat lagi gelanggang woodball yang terdapat di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis di Padang Behor, Kolej Matrikulasi Perlis di Arau dan Dataran Datuk Sheikh Ahmad di Kangar berkemungkinan akan dijadikan venue tambahan,” katanya.

Perlis pernah menjadi tuan rumah kepada pelbagai kejohanan woodball di peringkat kebangsaan serta antarabangsa. Antaranya, Kejohanan Woodball Kebangsaan 2010, Kejohanan Woodball Universiti Asia ke-7 pada 2013 dan Kejohanan Woodball Universiti Dunia ke-4 pada 2014.

Perlis juga pernah mencipta sejarah dalam 'The Malaysia Book of Records' sebagai penganjur pertandingan woodball paling lama berlangsung iaitu selama 28 jam tanpa henti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 8:23 AM