PESERTA melalui sebahagian daripada laluan 10 km. FOTO Eizairi Shamsudin
PESERTA melalui sebahagian daripada laluan 10 km. FOTO Eizairi Shamsudin
Hafizudin Mohd Safar


Arau: Seramai 384 peserta menyertai larian Arshad Ayob Convo Run yang julung kali diadakan di kampus Perlis.

Acara larian 10.1 kilometer itu diadakan sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-85 serta mempromosi universiti itu khasnya kawasan ladangnya.

Pelepasan peserta disempurnakan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Datuk Seri Dr Arshad Ayub tepat pada 5 petang di perkarangan Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra UiTM Perlis.

Menurut Rektor UiTM Cawangan Perlis, Zailuddin Ariffin, larian itu membabitkan laluan lasak sejauh tujuh kilometer di sekitar kampus.

"Hampir 70 peratus laluan adalah melalui kawasan ladang UiTM Perlis yang jarang dimasuki ramai pihak.

"Justeru, acara ini dapat mempromosi kawasan ladang yang juga satu daripada produk UiTM Perlis khasnya tanaman mempelam harumanis," katanya ketika ditemui hari ini

Beliau berkata, acara itu bakal dijadikan acara tahunan eksklusif untuk UiTM Perlis setiap kali istiadat konvokesyen.

Sementara itu, penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Krishnan Somunaidu, 22, menjadi peserta pertama tiba di garisan penamat di kompleks berkenaan dengan catatan masa 45 minit sebagai rekod sulung acara itu.

Tempat kedua dimenangi penuntut Diploma Sains UiTM Perlis, Musa Mahmud Zaim, 20, sementara pegawai perakaunan dari Pulau Pinang, Ramlan Rasdi, 40, mengungguli tempat ketiga.

Turut mencuri tumpuan ialah adik-beradik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis, Aniq Naufal Muzakris, 9, dan abangnya Muhd Faris Amzar bin Muzakris, 11, yang menamatkan larian di tempat ke-5 dan ke-11.

Hadiah pemenang utama berupa medal, sijil serta hamper disampaikan oleh Dr Arshad Ayub manakala 150 peserta terawal melintasi garis penamat turut menerima medal kejohanan.

FOTO Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 12:15 AM