Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP bergambar bersama kira-kira 600 graduan UniMAP selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Rohingya UniMAP di perkarangan Dewan Ilmu UniMAP Kampus Pauh Putra, Kangar, hari ini. - Foto Ihsan UniMAP.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP bergambar bersama kira-kira 600 graduan UniMAP selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Rohingya UniMAP di perkarangan Dewan Ilmu UniMAP Kampus Pauh Putra, Kangar, hari ini. - Foto Ihsan UniMAP.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


PRIHATIN dengan nasib Rohingya yang menjadi pelarian, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melancarkan Tabung Kemanusiaan Rohingya UniMAP hari ini.

Naib Canselor UniMAP Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, menyedari penderitaan etnik itu, UniMAP melancarkan tabung berkenaan sebagai tanggungjawab sosial universiti hari ini, juga sempena Istiadat Konvokesyen ke-12 UniMAP.

Menurut Zul Azhar, pihaknya berharap orang ramai di Perlis dapat membantu etnik berkenaan melalui tabung itu.

“Penuntut, keluarga mereka, warga UniMAP serta orang ramai diharap memberi sumbangan melalui tabung berkenaan bagi membantu etnik berkenaan meneruskan kelangsungan hidup,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Canselor UniMAP yang juga Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan tabung berkenaan selepas menyampaikan ijazah kepada kira-kira 600 graduan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Alam Sekitar, PPK Mekatronik serta PPK Komputer & Perhubungan.

Turut sama menyaksikan pelancaran tabung itu Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Datuk Dr Mohd Sofi Osman, ahli-ahli LPU, Naib Canselor UniMAP, Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan barisan pengurusan tertinggi universiti itu.

Seramai 3,180 penuntut UniMAP yang menamatkan pengajian, terbabit dalam Istiadat Konvokesyen ke-12 universiti itu bermula semalam hingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 6:51 PM