GAMBAR dikeluarkan CENTOCOM menunjukkan bantuan kemanusiaan diangkat  untuk dihantar ke Gaza. FOTO CENTCOM/ AFP
GAMBAR dikeluarkan CENTOCOM menunjukkan bantuan kemanusiaan diangkat untuk dihantar ke Gaza. FOTO CENTCOM/ AFP
Bernama-Anadolu

Istanbul: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Jumaat mengumumkan kejayaan penghantaran pertama bantuan ke Semenanjung Gaza melalui dermaga kemanusiaan multinasional.

"Awal hari ini, penghantaran pertama bantuan kemanusiaan tiba di pantai Gaza melalui dermaga kemanusiaan multinasional hasil usaha gigih CENTCOM (Komando Pusat AS) dan pasukan kami di USAID (Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) dan Jabatan Negara," tulis Biden di X, lapor Agensi Anadolu.

Beliau berkata bantuan yang disediakan oleh USAID termasuk 170 metrik tan bar makanan kaya nutrien yang disesuaikan untuk membantu 11,000 kanak-kanak dan dewasa.

Penghantaran termasuk "makanan terapeutik sedia untuk digunakan dan bekalan penting" yang bertujuan untuk menyediakan tempat tinggal, air bersih dan sokongan kebersihan kepada lebih 33,000 individu di Gaza.

"Lebih banyak bantuan dari AS dan negara lain terus tiba di Cyprus sebelum ia dimuatkan ke kapal untuk penghantaran melalui dermaga," kata Biden.

Beliau menegaskan keperluan mendesak untuk menangani situasi teruk yang dihadapi oleh penduduk Palestin, menekankan keperluan kritikal untuk mempercepat penyampaian bantuan kepada mereka yang paling memerlukan.

Beliau mengulangi kerjasama dengan Israel untuk meningkatkan aliran bantuan ke Gaza melalui laluan darat, sambil menekankan komitmen untuk meningkatkan usaha kemanusiaan di rantau itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 8:09 PM