GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


BAU busuk dari sebuah rumah di Jalan Bunga Tanjung 14, Taman, Muda, Ampang Jaya, hari ini, mendedahkan kematian wanita warga emas sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat itu daripada seorang lelaki selepas terhidu bau busuk jam 9.31 pagi.

"Selepas menerima maklumat itu, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi. Anggota bertugas memasuki rumah berkenaan dengan bantuan pihak bomba.

"Pemeriksaan menemui wanita warga emas berusia lingkungan 70-an terbaring di bawah kerusi di ruang tamu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Azmi berkata, pegawai perubatan dari Hospital Ampang yang hadir di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dalam tempoh empat atau lima hari lalu.

"Pemeriksaan di lokasi mendapati tiada kesan yang berkaitan unsur jenayah pada tubuh mangsa.

"Hasil siasatan juga mendapati mangsa tinggal bersendirian dan disahkan oleh anak perempuannya berusia 35 tahun yang melawat wanita terbabit sebulan sekali," katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk proses bedah siasat esok.

"Kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 5:20 PM