Nurul Hidayah Bahaudin


BAU busuk dihidu penduduk sekitar Kampung Lembah Jaya Selatan, Ampang membawa kepada penemuan mayat lelaki warga emas di rumahnya di kampung itu semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai bau busuk yang disyaki datang dari rumah warga emas berusia 61 tahun itu pada 9.31 malam tadi.

“Sebaik menerima maklumat itu, kami ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemui mayat lelaki itu yang dipercayai sudah meninggal dunia sejak empat hari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Azmi berkata, pemeriksaan awal pihaknya mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

“Menurut maklumat diberikan ahli keluarganya, lelaki itu tinggal sendirian di rumah berkenaan.

“Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Cancelor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat.

“Punca kematian mangsa masih belum dapat disahkan kerana menunggu laporan kimia. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 7:15 PM