Nor Afzan Moahamad Yusof


KERAJAAN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat telekomunikasi yang masih gagal untuk menyemak semula harga pakej perkhidmatan jalur lebar dan tahap kelajuan internet ditawarkan sebelum 31 Ogos ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, hingga hari ini hanya dua syarikat yang mengemukakan harga baharu iaitu Maxis dan Telekom Malaysia (TM).

Katanya, peruntukan pelaksanaan penurunan harga itu diperlukan berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) sejak 8 Jun lalu dan berkuatkuasa 1 Januari 2018, yang antara lain, mengenakan harga siling borong bagi pembekal kemudahan dan perkhidmatan digunakan syarikat telekomunikasi di pasaran.

"Ini bermakna pada awal September, pengguna akan menikmati harga baharu lebih rendah dengan kelajuan lebih tinggi.

"Bagi syarikat yang enggan melaksanakan, tindakan tegas akan dikenakan," katanya tanpa menyatakan bentuk tindakan berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat Asia-Pacific Telecommunity (APT) Preparotary Group for Plenipotentiary di Kuala Lumpur, hari ini.

Gobind berkata, tempoh berkenaan sepatutnya berakhir 31 Julai lalu, namun selepas perbincangan dengan syarikat telekomunikasi sebelum ini, kerajaan bersetuju menangguhkan sebulan lagi, sehingga 31 Ogos.

Tegasnya, kerajaan komited dalam mensasarkan 95 peratus rakyat negara ini, menikmati capaian jalur lebar menjelang tahun 2020, tetapi katanya, kerjasama daripada syarikat telekomunikasi diperlukan dalam memastikan usaha berkenaan berjaya dilaksanakan.

"Kita mulakan dengan meminta penurunan harga perkhidmatan, pada masa menawarkan internet berkelajuan tinggi.

"Menerusi perbincangan dengan beberapa syarikat, ada yang bersetuju mengurangkan separuh daripada harga ditawarkan dan tingkatkan kelajuan sehingga dua kali ganda jalur lebar," katanya.

Gobind berkata, kerajaan bersungguh-sungguh melaksanakan hal berkenaan kerana jalur lebar memberi manfaat kepada pelbagai sektor termasuk pertanian dan pelandangan.

"Negara tidak boleh ketinggalan dalam menikmati kelajuan jalur lebar, malah kita perlu selari dengan kemajuan dan kelajuan internet ditawarkan negara jiran seperti Singapura dan Hong Kong," katanya.

Sementara itu, mesyuarat Asia-Pacific Telecommunity (APT) Preparotary Group for Plenipotentiary dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Mulitmedia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Malaysia menjadi tuan rumah siri ke empat mesyuarat antarabangsa itu.

Siri sebelum ini berlangsung di Thailand pada Vietnam dan Australia.

Mesyuarat selama empat hari berakhir Khamis ini, disertai kira-kira 22 wakil tempatan dan luar negara antaranya dari Vietnam dan China.

Hasil mesyuarat berkenaan akan dibawa ke Persidangan Plenipotentiary 2018, yang berlangsung Oktober depan di Dubai.

Persidangan Plenipotentiary 2018 yang diadakan empat tahun sekali itu akan mengumpulkan negara anggota ITU untuk membincangkan halatuju dan aktiviti pembangunan telekomunikasi dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta projek dan program yang akan memberi manfaat kepada semua negara anggota khususnya kepada negara yang sedang membangun seperti Malaysia.

ITU ialah satu badan antarabangsa di bawah Bandar Bangsa-bangsa Bersatu yang bertanggungjawab berkenaan ICT.

Yang turut hadir Setiausaha Agong APT, Areewan Haorangsi, Setiausaha Agung ITU Houlin Zhao dan Pengerusi Mesyuarat, Nur Sulyna Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 11:40 AM