Nora Mahpar


Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) memperkenalkan pakej unifi mampu milik dengan kelajuan 30Mbps kurang dari RM100 bermula 15 Julai ini.

Pengenalan pakej terbaru itu adalah bagi membolehkan golongan rakyat dalam segmen B40 menikmati perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi negara.

Pemangku Ketua Pegawai CEO TM Datuk Bazlan Osman berkata, tawaran itu 40 peratus lebih rendah daripada harga pakej 30Mbps ketika ini iaitu RM179.

“Pengenalan pelan jalur lebar baru ini dalam usaha berterusan syarikat menawarkan perkhidmatan jalur lebar mampu milik, sebagai menyokong aspirasi kerajaan untuk mengurangkan harga perkhidmatan jalur lebar pada akhir tahun ini.

“Pelan baru ini juga bagi memperkukuhkan kedudukan kumpulan sebagai peneraju pasaran dan merealisasikan aspirasi jalur lebar dari segi harga, kepantasan dan liputan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pada majlis itu, TM juga mengumumkan pelan unifi turbo yang menawarkan kelajuan jalur lebar dua kali ganda berbanding ketika ini.

Katanya, TM akan menaik taraf kelajuan pelanggan unifi sedia ada secara berperingkat kepada lebih dua kali ganda tanpa tambahan kos bermula 15 Ogos depan.

“Sementara pelanggan baru yang melanggan pelan unifi sedia ada sebelum 31 Disember akan dinaik taraf mulai 2019,” katanya.

TM turut melancarkan semula pelan pascabayar tanpa had unifi Mobile khusus untuk pelanggan jalur lebar sedia ada mulai 15 Julai ini.

Bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengumumkan harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang hujung tahun ini.

Penurunan harga itu berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) pada 8 Jun lalu berkuat kuasa 1 Januari 2018, yang mengenakan harga siling borong bagi pembekal kemudahan dan perkhidmatan digunakan syarikat telekomunikasi di pasaran.

Penurunan harga borong itu kelak akan turut mengurangkan harga pasaran jalur lebar bagi pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 2:01 PM