MUSTAFAR (tiga dari kanan) bersama anggota JIM Depot Lenggeng dan penduduk Kampung Beranang melapah daging lembu sempena Program Ramah Mesra (Ibadah Korban 1439H) di Depot Imigresen Lenggeng di Nilai, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad.
MUSTAFAR (tiga dari kanan) bersama anggota JIM Depot Lenggeng dan penduduk Kampung Beranang melapah daging lembu sempena Program Ramah Mesra (Ibadah Korban 1439H) di Depot Imigresen Lenggeng di Nilai, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengesan segelintir majikan dipercayai bertindak ‘menjual’ warga asing yang dipohon kononnya untuk diambil sebagai pekerja, kepada majikan lain bagi mengaut keuntungan sehingga RM5,000.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, walaupun tiada statistik jumlah sebenar majikan terbabit dalam perbuatan sedemikian, siasatan mendapati ada majikan memohon terlalu ramai pekerja asing tetapi sebenarnya tidak memerlukan ramai pekerja.

Katanya, sebagai contoh ada majikan memohon 300 pekerja asing dan semuanya diluluskan, namun hasil semakan bagi industri terbabit hanya memerlukan seramai 50 orang pekerja sahaja.

“Jadi, di sini kita syak ada pekerja ‘dijual’ di tempat lain. Seperti berlaku di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini apabila majikan minta ramai pekerja asing sebagai pekerja, tetapi siasatan mendapati ramai dihantar bekerja di tempat lain.

“Itu dipanggil sebagai pemerdagangan atau memperhambakan orang. Kita akan ambil tindakan tegas.

“Siasatan mendapati majikan yang berbuat demikian berjaya mengaut keuntungan antara RM1,500 sehingga RM5,000 daripada majikan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ramah Mesra (Ibadah Korban 1439H) di Depot Imigresen Lenggeng di Nilai, hari ini. Turut hadir, Pengarah JIM Negeri Sembilan, Mohammed Khalil Ali.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, usaha mengekang daripada masalah itu menjadi lebih berleluasa dibuat menerusi tiga strategi iaitu tangkapan, penguatkuasaan dan pendakwaan terhadap majikan terbabit.

Beliau berkata, negara masih memerlukan pekerja warga asing, tetapi perlu menggunakan saluran betul dan pada masa sama turut mengutamakan pekerja tempatan dalam memberi peluang pekerjaan.

Justeru, katanya, JIM kini giat menjalankan operasi mengusir pendatang asing tanpa izin (Pati) menerusi Ops Mega 3.0 selepas berakhir Program Penggajian dan Penempatan Semula Pati (Program Rehiring) pada 30 Jun lalu.

“Bermula 1 Julai sehingga 20 Ogos lalu seramai 7,958 Pati ditahan melalui 2,463 operasi yang dijalankan di seluruh negara, manakala 238 majikan ditahan kerana dikesan menggaji Pati.

“Bermula Januari sehingga 20 Ogos lalu pula, kita sudah menjalankan 98,349 operasi dan menahan lebih 29,000 Pati serta 866 majikan yang dikesan melindungi Pati.

“Ada pihak yang mengatakan tindakan kami menangkap Pati sebagai keras, tetapi itulah permintaan masyarakat yang sudah rimas sekali gus berusaha ‘memerdekakan’ negara ini daripada kehadiran mereka,” katanya.

Beliau berkata, hasil operasi dijalankan, ketika ini terdapat lebih 7,000 Pati di 13 depot tahanan dan empat pusat tahanan sementara di Sabah untuk dihantar pulang ke negara masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 4:04 PM