MUSTAFAR (kiri) memeriksa pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi di Taman Aur Jaya, Taiping. FOTO Nor Raidah Awang
MUSTAFAR (kiri) memeriksa pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi di Taman Aur Jaya, Taiping. FOTO Nor Raidah Awang
Farah Suhaidah Othman


SERAMAI 11,500 pendatang tanpa izin (PATI) dan 272 majikan ditahan dalam operasi berterusan dijalankan Jabatan Imigresen sejak berakhirnya program kad sementara (E-Kad) pada 30 Jun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya menjalankan operasi berterusan di seluruh negara bagi membanteras kedatangan PATI ke negara ini sejak tamat tempoh program berkenaan.

Katanya, pihaknya turut mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melindungi PATI termasuk membeku aset syarikat berkenaan.

"Setakat 11.30 malam tadi, kita menahan 11,500 PATI di seluruh negara dan 272 majikan kerana melindungi dan menggaji PATI.

"Saya telah berjumpa dengan Ketua Hakim Negara bagi membincangkan isu kehakiman dan beliau menyatakan kesediaan serta tindakan tegas termasuk hukuman sebat terhadap majikan yang masih berdegil," katanya ketika ditemui pemberita dalam operasi berkenaan di kawasan Taiping dan Kamunting, malam tadi.

Operasi bermula 10.30 malam dan berakhir lima jam kemudian membabitkan 39 anggota Jabatan Imigresen di dua lokasi berasingan di tapak pembinaan di Taiping dan Kamunting.

Dalam operasi itu, 139 pekerja warga asing diperiksa dan 45 daripadanya ditahan berikutan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan menyalahguna pas pekerjaan.

Mustafar berkata, dalam operasi berkenaan, 39 lelaki dan enam wanita serta dua kanak-kanak masing-masing berusia satu bulan dan tiga tahun ditahan.

"Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh bagi tujuan dokumentasi sebelum dibawa ke Depot Imigresen Langkap untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 3:56 PM