Paul Low dan Mustafar (kiri) semasa sesi Dialog Bersama Majikan Pekerja Asing di Dewan Serbaguna ibu pejabat Imigresen Malaysia hari ini. FOTO Bernama
Paul Low dan Mustafar (kiri) semasa sesi Dialog Bersama Majikan Pekerja Asing di Dewan Serbaguna ibu pejabat Imigresen Malaysia hari ini. FOTO Bernama
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kerajaan mahu meminda Akta (Sekatan) Kerja 1968 bagi meningkatkan jumlah denda bakal dikenakan terhadap majikan yang didapati bersalah menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, buat masa ini, denda maksimum yang dikenakan ialah RM50,000 dan kerajaan mahu meningkatkannya kepada RM100,000 bagi setiap PATI.

Katanya, perkara berkenaan sudah dibincangkan dan selesai dirangka serta dijangka dibentangkan ke Parlimen pada Mac depan.

"Pindaan ini perlu dibuat kerana kita mahu memastikan majikan hanya menggaji pekerja asing yang sah saja dan tidak mengambil PATI bekerja dengan mereka.

"Bagaimanapun, PATI yang ditangkap serta didapati bekerja secara tidak sah akan dihantar pulang ke negara masing-masing," katanya pada sidang media selepas sesi Dialog Bersama Majikan Pekerja Asing di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 8:45 PM