PEGAWAI Jas Kedah melakukan pemeriksaan di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah. FOTO Ihsan Jas
PEGAWAI Jas Kedah melakukan pemeriksaan di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah. FOTO Ihsan Jas
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Jabatan Alam Sekitar (Jas) mengesahkan kejadian kebocoran bahan kimia di kilang pembuatan sarung tangan getah di Bakar Arang, hari ini tidak menjejaskan persekitaran dan pencemaran di luar kawasan kilang berkenaan.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kebocoran itu berjaya dikawal sepenuhnya dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Beliau berkata, anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Bomba berjaya membawa keluar tong bahan kimia terbabit dengan menempatkannya di dalam waste drum milik Hazmat bagi tujuan kawalan.

"Berdasarkan cerapan yang dibuat Jas Kedah pada 3.39 petang tadi mendapati bacaan gas ammonia di kawasan kebocoran (zon merah) adalah pada 6 hingga 8 ppm manakala bacaan gas ammonia di kawasan zon hijau adalah pada 0 ppm.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati, kepekatan gas ammonia itu juga didapati di bawah tahap yang dibenarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) iaitu 25 ppm dan tidak melebihi paras bahaya.

"Bagaimanapun, pihak kilang perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis terbabit kerana insiden tumpahan bahan mentah serta bahan kimia pernah berlaku di kilang itu beberapa bulan lalu.

"Jas Kedah sudah memaklumkan perkara itu kepada JKKP dan operasi itu tamat sepenuhnya 5.30 petang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia KedahWan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, jumlah keseluruhan pekerja yang mengalami muntah dan sesak nafas adalah seramai 22 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 7:55 PM