FDAM, IJN pupuk kesedaran kesihatan.
FDAM, IJN pupuk kesedaran kesihatan.

Kuala Lumpur: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) menganjurkan Hari Karya Lestari FDAM bertempat di Astaka Taman Tasik Titiwangsa di sini, Ahad ini bertujuan memberi kesedaran mengenai kesihatan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan matlamat kempen adalah memberi pendedahan kepada ahli akan penyakit berkaitan jantung, serangan jantung, faktor penyebab serta simptom-simptomnya.

Hari Karya Lestari dianjurkan untuk menimbulkan kesedaran akan tahap kesihatan jantung kepada penggiat seni merangkumi industri kreatif, media dan hiburan negara.

Edisi pertamanya dikhaskan kepada ahli FDAM dengan harapan dapat mengurangkan masalah kesihatan kritikal mereka.

Program selama sehari bermula seawal jam 6.30 pagi hingga 11 pagi itu menggabungkan elemen riadah, acara berjalan santai dan pendedahan simptom membabitkan penyakit-penyakit jantung, respitori, renal, limfatik, diabetes dan hipertensi.

Taklimat dan ceramah mengenai pencegahan, demonstrasi CPR, pendedahan kemudahan di IJN, pendedahan kepada insuran kesihatan dan perkongsian atau testimonial pesakit.

Tiga objektif utamanya adalah yang pertama memberi pendedahan kepada ahli FDAM akan kesihatan jantung, respiratori dan renal.

Kedua, pendedahan jenis perlindungan insuran serta polisi-polisi yang bersesuaian dengan kerjaya dibidang pengarahan agar ahli-ahli dilindungi sekiranya ditimpa sakit-sakit kritikal.

Ketiga, mencari peluang kerjasama dengan IJN di mana FDAM berhasrat menjadi rakan korporat untuk membolehkan ahli mendapat bantuan kewangan untuk rawatan, diskaun serta peluang lain yang akan ditawarkan.

Jantung Sihat, Karya Lestari adalah mesej utama yang ingin disampaikan kepada semua penggiat seni tempatan.

Melalui perkongsian ilmu, strategi pencegahan dan kerjasama strategik, FDAM yakin akan mampu merubah tabiat dan gaya hidup ke arah lebih mementingkan kesihatan dalam kalangan semua.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 8:10 PM